Sukan SEA: Yan Yee sumbang emas kelima negara

Atlet Terjun Negara, Ng Yan Yee beraksi dalam acara 3M papan anjal wanita sempena Sukan SEA 2021 di Pusat Akuatik My Dinh pada Selasa. - Foto Bernama
Atlet Terjun Negara, Ng Yan Yee beraksi dalam acara 3M papan anjal wanita sempena Sukan SEA 2021 di Pusat Akuatik My Dinh pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

MALAYSIA terus mendominasi sukan terjun pada Sukan SEA ke-31 yang berlangsung di Pusat Akuatik My Dinh di sini pada Selasa.

Hari ini giliran Ng Yan Yee pula menyumbangkan kilauan pingat emas kelima kontinjen negara menerusi final 3 meter (m) papan anjal wanita.

Ia adalah pingat emas kedua peribadi Yan Yee di temasya sukan dwitahunan itu selepas menyambar emas acara 3m papan anjal seirama wanita bergandingan bersama Ong Ker Ying.

Lebih manis pada aksi final hari ketiga sukan terjun itu, Ker Ying memastikan Malaysia menamatkan acara dengan pencapaian gemilang apabila merangkul pingat perak untuk mencipta kejayaan kedudukan podium 1-2, menewaskan enam penerjun lain.

Yan Yee dinobatkan juara apabila mengumpul keseluruhan 270.60 mata menerusi lima terjunannya, diikuti Ker Ying (242.40 mata) sementara wakil Singapura bangkit daripada ketinggalan untuk membawa pulang gangsa dengan mengutip 230.15 mata.

Malaysia menyasarkan menyapu bersih lapan pingat emas acara terjun yang ditawarkan pada Sukan SEA kali ini, untuk mengulangi pencapaian edisi 2019 di Filipina yang menyaksikan kem terjun membolot kesemua empat pingat emas dipertandingkan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!