Misi perdagangan ke Jeddah bantu promosi jenama PKS di Timur Tengah

Rosol (tengah) memotong kek simbolik kepada kerjasama dengan Lulu Hypermarket Marwah di Jeddah.
Rosol (tengah) memotong kek simbolik kepada kerjasama dengan Lulu Hypermarket Marwah di Jeddah.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Malaysia menjalankan misi perdagangan francais ke Jeddah, Arab Saudi, untuk membantu pengembangan jenama Malaysia ke Timur Tengah.

Delegasi diketuai Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid itu turut disertai pegawai dari kementerian, Persatuan Francais Malaysia (MFA) dan lima jenama terkemuka negara iaitu CheeseU, CIC Where Leaders Are Born, Genius Aulad, US Pizza dan Siti Khadijah.

Rosol berkata misi perdagangan tiga hari berakhir pada 9 Mei itu merupakan sebahagian Program Pembangunan Francais Dipertingkatkan yang diluluskan oleh jawatankuasa Majlis Eksport Francais (FRANEX) pada 2021.

“Misi perdagangan itu bertujuan menggalakkan dan mendorong pengembangan jenama Malaysia ke pasaran Timur Tengah, terutama di Arab Saudi serta menghubungkan dan menjalinkan perkongsian dengan pelabur asing yang betul dan berpotensi melalui program padanan perniagaan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, jenama francais Malaysia telah berkembang sehingga menjadi terkemuka dengan lebih 68 jenama di 74 negara dan dijangka terus berkembang dalam era pasca-Covid-19.

Industri francais di Malaysia merekodkan jumlah jualan RM13 bilion pada 2021, meningkat 16.4 peratus daripada RM11.16 bilion yang dicatatkan pada 2018.

Di Jeddah, delegasi itu turut melawat Lulu Hypermarket Marwah untuk mengukuhkan kerjasama antara Malaysia dan Lulu International Group dalam sektor peruncitan serta meluaskan jangkauan dan pembangunan produk negara di pasaran Timur Tengah melalui Lulu Hypermarket di Arab Saudi.

“Ini sudah pasti merupakan pendekatan sama menang, dengan kita mengalu-alukan pengendali runcit dan borong terkemuka asing untuk menjalankan perniagaan mereka di Malaysia dan pada masa yang sama membawa produk dan jenama Malaysia dalam operasi mereka di luar negara,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!