Dua maut, dua cedera dalam kemalangan di tempat kerja di Samalaju
BINTULU - Polis Bintulu mengesahkan dua pekerja kilang di Taman Perindustrian Samalaju maut dalam kemalangan berkaitan kerja pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintenden Bartholomew Umpit berkata, dua lagi pekerja mengalami cedera ringan dalam insiden itu yang berlaku di dalam kawasan kilang terbabit.
"Kami telah menerima laporan mengenai insiden itu pada jam 9.10 malam dan telah mengambil kenyataan daripada beberapa saksi yang juga pekerja syarikat tersebut.
"Buat masa ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Punca insiden masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Beliau menasihati orang ramai agar tidak membuat spekulasi mengenai insiden itu dan menimbulkan keresahan yang tidak perlu dalam kalangan masyarakat di Bintulu.
Video berkaitan insiden itu memaparkan dua kakitangan perubatan membungkus mayat seorang daripada si mati dengan kain putih yang diletakkan di atas pengusung malam tadi menjadi tular di laman Facebook di Sarawak.
Seorang lelaki yang memakai baju luar hijau tertera nama OCIM di bahagian belakang turut dilihat mengambil gambar dan beberapa wanita meraung dalam video itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!