Polis cekup 50 PATI warga Myanmar di Tanah Merah

No Image Caption
A
A
A

TANAH MERAH - Polis menahan 50 pendatang tanpa izin (PATI) warga Myanmar yang bersembunyi di sebuah rumah kedai di Kampung Jelakong di sini petang Selasai.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintenden Wan Zulfikri Wan Othman berkata, serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah pada jam 5.30 petang.

Beliau berkata, turut ditahan dua lelaki warga tempatan berusia 48 dan 65 tahun yang berada di dalam premis itu.

"Semasa pemeriksaan, polis menemukan 43 lelaki dan tujuh wanita warga Myanmar berusia 18 hingga 45 tahun di dalam rumah kedai tersebut.

"Pemeriksaan mendapati mereka tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Wan Zulfikri berkata, mereka dibawa masuk ke negara ini sejak tiga hari lepas melalui pangkalan haram berdekatan sempadan Malaysia-Thailand untuk bekerja di Kuala Lumpur, Kuantan, Genting Highlands dan Cameron Highlands.

Beliau berkata, premis terbabit dipercayai dijadikan lokasi transit sebelum mereka dibawa keluar dari Kelantan.

"Susulan itu, dua lelaki warga tempatan terlibat ditahan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

"Kesemua warga Myanmar itu pula ditahan di bawah Akta Imigresen 1963 dan mereka telah dibawa ke IPD Tanah Merah untuk tindakan lanjut,” katanya.

Turut dirampas sebuah kenderaan pacuan empat roda yang digunakan untuk membawa pendatang terbabit. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!