Wajarkah ‘manjakan’ pesalah jalan raya?

Kesalahan di jalan raya kini lebih mudah dikesan dengan wujudnya kamera papan pemuka yang terang lagi bersuluh serta dapat membuktikan kesalahan mereka. - Gambar hiasan
Kesalahan di jalan raya kini lebih mudah dikesan dengan wujudnya kamera papan pemuka yang terang lagi bersuluh serta dapat membuktikan kesalahan mereka. - Gambar hiasan
A
A
A

SEJAK kecil kita sudah diajar agar menjaga perilaku lebih-lebih lagi ketika berdepan dengan orang tua. Doa dan nasihat supaya menjadi anak baik dan mendengar kata sedari kanak-kanak bagaikan sudah tidak relevan apabila menjelang dewasa.

Begitu juga kita sudah tentu tahu setiap perbuatan jahat akan menerima balasan setimpal dengan apa yang telah dilakukan. Namun, harapan itu berubah apabila dikaitkan dengan kesalahan di jalan raya.

Memandu melebihi had laju, melanggar lampu merah, memotong di garisan berkembar dan memandu di lorong kecemasan boleh dianggap sebagai fakta mudah untuk menerangkan kesalahan dalam pemanduan.

Sudah tentu setiap perbuatan salah itu akan menerima hukuman. Mereka ini akan dihukum dengan cara dikenakan saman. Dahulunya, mereka yang menerima ‘surat cinta’ daripada pihak berkuasa ini boleh dikatakan menyesal dengan perbuatan dilakukan.

Masakan tidak, bukan murah bayaran saman yang perlu dibayar. Siapa mahu wang sekitar RM500 hingga RM1,000 hangus begitu sahaja semata-mata kesilapan sendiri.

Situasi tersebut bagaimanapun kian memudar sejak pihak berkuasa mula memperkenal konsep potongan harga sempena acara tertentu atau setiap memasuki tahun baharu.

Bukan sikit-sikit, ada masanya diskaun diberikan boleh mencecah 80 peratus.

Persoalannya kini adakah kesalahan yang dilakukan itu boleh dimaafkan. Apa guna wujudnya hukuman sekiranya pelaku tetap tidak menyesal dengan kesilapan yang dilakukan.

Mungkin kerana perkara itu dianggap remeh dan tidak mendatangkan kemudaratan kepada masyarakat berbanding kesalahan jenayah berat seperti membunuh dan dadah.

Mengapa jenayah berat seperti itu memerlukan hukuman berat yang dianggap setimpal dan tidak boleh dikurangkan sedikit apatah lagi menerima ‘potongan harga’.

Orang tua-tua selalu berkata, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Salah tetap salah jadi, mengapa perlu dibeza-bezakan. Adakah kita perlu mewujudkan golongan anak emas semata-mata alasan tidak mahu membebankan rakyat.

Memang benar, siapa mahu berhabis sekitar ribuan ringgit semata-mata untuk menjelaskan saman. Dengan wang sejumlah tersebut, bermacam hal lagi boleh digunakan.

Namun, bagaimana pula bagi mereka yang berusaha untuk menjadi pemandu berhemah dan berusaha untuk mengelakkan diri daripada disaman pihak berkuasa.

Berbeza dengan fikiran individu yang beranggapan apa salahnya melakukan kesalahan kerana setiap tahun pasti ‘tawaran harga runtuh’ tersedia.

Sekiranya saman diterima sekitar RM300, dengan potongan harga 80 peratus, hanya sekitar RM60 sahaja perlu dibayar.

Pastinya ia menjadi tarikan dan peluang keemasan buat mereka yang melakukan kesalahan. Apabila waktu itu tiba, berduyun-duyun manusia yang datang. Lagaknya tidak ubah seperti satu temasya majlis rumah terbuka.

Sampai bila mereka ini perlu dimanja? Adakah cara sebegini dianggap mudah untuk menyuruh pesalah membayar denda dan saman mereka? Adakah ia dianggap berbaloi?

Jika pemikiran begitu yang diterapkan, bagaimana pesalah jalan raya tidak menjadi ego dan bertindak berani hingga mengakibatkan kemalangan dan meragut nyawa individu lain.

Kesalahan di jalan raya kini lebih mudah dikesan dengan wujudnya kamera papan pemuka yang terang lagi bersuluh serta dapat membuktikan kesalahan mereka.

Tidak hanya cara pemanduan, malah keadaan kenderaan yang telah diubah suai tanpa mengikut garis panduan, turut menjadi satu kesalahan.

Adakah golongan seperti ini setara dengan ‘golongan kayangan’ yang tidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas. Sekiranya asuhan dan pemikiran begini yang diterapkan, bagaimana generasi akan datang mampu patuh kepada arahan dan undang-undang.

Memang benar sifat manusia itu tidak sempurna dan sentiasa melakukan kesalahan, tetapi perkara itu boleh dibendung dengan didikan.

Bayangkan jika aktiviti potongan harga ini tidak lagi dilakukan dan tindakan tegas dikenakan kepada pemandu, mungkin sedikit sebanyak kaedah tersebut dapat mendidik pemandu agar lebih berhati-hati di jalan raya.

* Nurul Fadila Awaludin ialah wartawan Lifestyle Sinarplus

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!