Ajal di simpang empat

Mayat mangsa dihantar ke HTJS untuk tindakan lanjut
Mayat mangsa dihantar ke HTJS untuk tindakan lanjut
A
A
A

NILAI - Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat kemalangan dengan sebuah kereta di Persiaran Utama, Nilai dekat simpang empat berhampiran pasar raya Giant, pagi Rabu.

Ketua Polis daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Ab. Rahman berkata, kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu melibatkan kereta jenis Perodua Axia dipandu seorang wanita berusia 57 tahun dengan seorang penumpang dan sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC ditunggang mangsa, Mohd Eddie Azhar Abdullah, 43 tahun.

"Berdasarkan siasatan awal mendapati kawasan kemalangan adalah simpang empat. Keadaan cuaca hujan dan permukaan jalan basah.

"Kemalangan dipercayai berlaku semasa pemandu Perodua Axia dalam perjalanan dari Lily Residensi menghala ke KTM Nilai sedang bergerak terus ketika lampu isyarat di laluan berwarna hijau," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Jelasnya, sebaik tiba di lokasi, secara tiba-tiba motosikal yang ditunggang mangsa dari arah kanan telah melanggar kereta berkenaan.

"Akibat daripada kemalangan tersebut, penunggang tersebut telah meninggal dunia di tempat kejadian susulan kecederaan parah di bahagian kepala manakala pemandu dan penumpang kereta itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) bagi tujuan bedah siasat. Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!