Enam karyawan dipilih pemenang utama Kempen Setia Karya

Seramai enam karyawan dinobatkan sebagai pemenang utama dalam peraduan Kempen Seni Hotel Setia Karya di Pusat Konvensyen Setia SPICE.
Seramai enam karyawan dinobatkan sebagai pemenang utama dalam peraduan Kempen Seni Hotel Setia Karya di Pusat Konvensyen Setia SPICE.
A
A
A

BAYAN BARU - Enam karyawan dipilih sebagai pemenang utama dalam peraduan melukis sempena Kempen Seni Hotel Setia Karya (Setia Karya) yang dianjurkan SP Setia Berhad.

Tempat pertama dinobatkan kepada dua pemenang iaitu Lim Tow Tin dan Awisa Abdullah.

Kedua-dua pemenang masing-masing memenangi wang RM12,000 di atas kemenangan mereka.

Sementara itu, tempat kedua dimenangi oleh Yong Hui Lin dan Arikwibowo Amril yang mana kedua-duanya membawa pulang wang tunai RM7,000 setiap seorang.

Bagi tempat ketiga pula, dua pemenang iaitu Dhakshini Jeganathan dan Raden Hisbullah membawa pulang wang tunai RM7,000 setiap seorang.

Senarai pemenang tersebut diumumkan oleh Ketua Menteri, Chow Kon Yeow yang disaksikan Ketua Pegawai Operasi dan Timbalan Presiden SP Setia, Datuk Seri Koe Peng Kang dalam satu majlis yang diadakan di Pusat Konvensyen Setia SPICE di sini pada Selasa.

Peraduan tersebut menyediakan 75 hadiah untuk dimenangi, yang mana enam daripadanya akan menjadi pemenang utama, manakala 69 lagi adalah hadiah saguhati yang setiap satunya bernilai RM3,000.

Peng Kang berkata, peraduan tersebut diadakan sempena pelancaran hotel baharu iaitu Amari SPICE Pulau Pinang di Bayan Baru dan Amari Kuala Lumpur di KL Eco City pada September ini.

Peng Kang (kanan) mengiringi Kon Yeow (dua dari kanan) meneliti setiap karya yang dipertandingkan dalam Kempen Seni Hotel Setia Karya di Pusat Konvensyen Setia SPICE.
Peng Kang (kanan) mengiringi Kon Yeow (dua dari kanan) meneliti setiap karya yang dipertandingkan dalam Kempen Seni Hotel Setia Karya di Pusat Konvensyen Setia SPICE.

Katanya, kempen berkenaan yang berlangsung sehingga 30 April lalu menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan RM252,000 selain semua karya yang terpilih akan menjadi sebahagian daripada pameran serta hiasan reka bentuk dalaman hotel.

"Kempen ini menyediakan platform untuk artis tempatan yang terjejas akibat pandemik Covid-19 selain mengangkat karya artis tempatan dari semua lapisan masyarakat termasuk golongan profesional, amatur, pelajar khususnya kanak-kanak kurang upaya.

"Sebanyak 178 karya telah dihantar oleh 150 pelukis dari semua peringkat umur, yang mana 20 daripada pelukis ini merupakan golongan orang kurang upaya. Pemenang dipilih berdasarkan dua tema iaitu Vibrance of the Orient (Amari SPICE Penang) dan Vivarium of the East (Amari Kuala Lumpur)," katanya ketika sidang akhbar di Pusat Konvensyen Setia SPICE, di sini pada Selasa.

Mengulas mengenai kriteria yang dinilai, Peng Kang berkata, antara kriteria yang dipertimbangkan ketika proses pemilihan adalah komponen budaya, kreativiti, keunikan karya seni dan menepati tema.

"Sesebuah kesenian itu sangat subjektif, oleh itu, agak sukar bagi juri untuk memilih pemenang. Saya berharap kempen ini dapat membantu golongan artis mendapat peluang yang lebih baik dalam industri seni dan budaya.

"Bakat mereka bukan sahaja dapat dilihat oleh rakyat Malaysia tetapi juga pelancong antarabangsa yang akan mengunjungi hotel baharu Amari nanti," tambahnya.

Juri yang bertanggungjawab untuk menilai kesemua karya tersebut adalah Ketua Pegawai Eksekutif Biro Konvensyen dan Pameran Pulau Pinang (PCEB) Ashwin Gunasekran; Pengerusi Galeri Seni Pulau Pinang, Lee Khai; pemilik Galeri Pulau, Cheong Mei Fong, Ketua Institut Seni Halus Malaysia, Liu Cheng Hua dan Naib Persatuan Hotel Malaysia, Khoo Boo Lim.

Kempen Setia Karya disokong bersama oleh Institut Seni Malaysia, Persatuan Hotel Malaysia, Galeri Seni Pulau Pinang.

Sementara itu, Kon Yeow dalam ucapannya berkata, peraduan tersebut memberi peluang kepada semua bakal artis Malaysia untuk mempamerkan kreativiti mereka, khususnya golongan kurang berkemampuan dan golongan kurang upaya.

"Saya berharap kempen ini akan menjadi pemangkin untuk meningkatkan industri seni dan budaya tempatan selain kerajaan negeri akan terus memupuk dan menyinari bakat tempatan yang kita ada," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!