PKGK Kuala Gandah terima lebih 38,000 pelancong

Lebih 38,000 pelancong mengunjungi PKGK Kuala Gandah, Lanchang, Temerloh dalam tempoh empat bulan pada tahun ini.
Lebih 38,000 pelancong mengunjungi PKGK Kuala Gandah, Lanchang, Temerloh dalam tempoh empat bulan pada tahun ini.
A
A
A

KUANTAN - Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Lanchang, Temerloh menerima 38,406 pelancong dalam tempoh empat bulan tahun ini.

Ketua PKGK Kuala Gandah Lanchang, Che Ku Mohd Zamzuri Chik Wan Ab Rahman berkata, jumlah kehadiran pelancong dari dalam dan luar negara meningkat empat kali ganda selepas kerajaan membenarkan sektor pelancongan kembali beroperasi semula.

Menurutnya, susulan itu hampir setiap hari pelancong datang untuk melihat gajah dan kehadirannya bertambah pada hujung minggu dan cuti umum.

"Kalau ikutkan data kehadiran pelancong, bulan Februari mencatat jumlah teramai kehadiran pelancong tempatan dan asing dengan 14,050 diikuti 12,001 pada Mac.

"Bagaimanapun, seramai 9,279 pelancong pada Januari dan 3,076 pelancong pada April, kehadiran pelancong dijangka terus bertambah hingga akhir tahun ini," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Che Ku Mohd Zamzuri berkata, selepas pintu sempadan negara dibuka seramai 854 pelancong asing dari beberapa negara telah berkunjung ke PKGK Kuala Gandah tahun ini.

Selain itu, katanya, pada cuti perayaan minggu lalu kehadiran pelancong juga ramai membabitkan pelancong tempatan dan asing yang datang bersama bersama keluarga.

"Kita telah mengadakan pelbagai aktiviti untuk menghiburkan pengunjung seperti persembahan gajah, gajah mandi dan memberi gajah makan.

"Pameran berkaitan haiwan liar berkenaan di negara ini turut diadakan," katanya.

Tambah beliau, terdapat kira-kira 32 gajah anak dan dewasa yang digunakan untuk pameran, persembahan dan denak.

Che Ku Mohd Zamzuri berkata, tarikan utama PKGK Kuala Gandah ialah pengunjung diberi peluang memberi gajah makanan seperti buah, kacang dan tebu, selain melihat haiwan berkenaan mandi di sungai yang terdapat kawasan pusat berkenaan.

"Kita mengalu-alukan kedatangan pelancong ke PKGK Kuala Gandah dalam usaha merancakkan lagi sektor pelancongan itu selepas terjejas teruk disebabkan wabak Covid-19," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!