Tumbuk penumpang pesawat, Tyson tidak didakwa

Mike Tyson - Foto AFP
Mike Tyson - Foto AFP
A
A
A

LOS ANGELES - [DIKEMAS KINI] Bekas juara tinju heavyweight, Mike Tyson tidak akan dikenakan sebarang tuduhan jenayah kerana menumbuk seorang penumpang di dalam sebuah pesawat, kata seorang pendakwa raya di California pada Selasa.

Dalam kejadian pada 20 April lalu, Tyson menumbuk berulang kali seorang penumpang lelaki sehingga mengalami lebam dan beberapa pendarahan.

Tyson yang dikenali sebagai Iron Mike pada mulanya mesra dengan penumpang dan rakannya ketika mereka menaiki penerbangan dari San Francisco ke Florida, Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, dia bertindak memukul lelaki itu selepas penumpang tersebut tidak berhenti memprovoknya, kata laman web hiburan TMZ.

Seorang peguam Daerah San Mateo, Steve Wagstaffe memberitahu AFP bahawa tidak akan ada pertuduhan terhadap bekas petinju itu.

"Kami telah menyemak laporan polis Jabatan Polis San Francisco dan Pejabat Syerif Daerah San Mateo. Kami juga melihat pelbagai video yang dikumpulkan oleh penguat kuasa undang-undang yang diperoleh daripada penumpang kapal terbang itu.

"Keputusannya, kami tidak akan memfailkan sebarang pertuduhan terhadap Tyson berdasarkan keadaan sekitar konfrontasi itu," katanya.

Pihak peguam telah meneliti kelakuan mangsa yang membawa kepada kejadian itu, interaksi antara Tyson dan mangsa serta permintaan daripada mereka supaya tiada pertuduhan difailkan dalam kes berkenaan.

Dianggap sebagai salah seorang pemain heavyweight terbaik sepanjang zaman, Tyson juga terkenal dengan tingkah lakunya yang tidak menentu termasuk menggigit telinga Evander Holyfield dalam pertarungan tinju pada tahun 1997. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!