Trump iktiraf Bukit Golan milik Israel
WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump semalam menandatangani deklarasi mengiktiraf Bukit Golan sebagai milik Israel.
Bertempat di Rumah Putih, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang menyaksikan Trump menandatangani pengiktirafan tersebut turut memuji tindakan presiden AS itu.
"Keputusan mengiktiraf kedaulatan Israel di Bukit Golan merupakan detik yang amat bersejarah," kata Netanyahu yang berada di Washington bagi menghadiri persidangan Jawatankuasa Hal Ehwal Awam Israel - AS (AIPAC).
Sementara itu, Presiden Trump berkata, keputusan mengiktiraf Bukit Golan sebagai milik Israel seharusnya dilakukan sejak dahulu lagi.
Dalam pada itu, jurucakap Menteri Luar Rusia, Maria Zakharova menegaskan, deklarasi yang ditandatangani Trump itu bertentangan dengan prosedur antarabangsa dan hanya akan menimbulkan ketegangan di Timur Tengah.
Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu turut mengkritik tindakan Trump yang seolah - olah memberi 'hadiah' buat Netanyahu yang bakal menghadapi pilihan raya pada 9 April depan.
Terdahulu, wilayah Bukit Golan dirampas rejim Israel dari Syria ketika Perang Enam Hari pada 1967. - AFP
ARTIKEL BERKAITAN: Trump bikin kecoh lagi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!