'MN sudah sampai 'surah terakhir' - Tok Mat
KUALA LUMPUR - Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perbincangan mengenai status Muafakat Nasional (MN) kini sudah sampai 'surah terakhir' namun keputusan sama ada untuk khatam bergantung kepada keputusan parti.
Menurutnya, perbincangan akan dilakukan dalam mesyurat biro politik dan mesyurat Majlis Tertinggi UMNO.
"Kita dah sampai surah terakhir dan surah akhir dah baca dah. Cuma nak khatamnya belum lagi. Majlis khatamnya nanti tunggulah.
"Nak khatam atau tidak, tak tahulah. Jadi kita akan buat keputusan di peringkat parti. Nasihat saya adalah biar parti buat keputusan.
"Kepimpinan, presiden telahpun memberikan pandangan. Kita akan bincang pandangan dan nasihat ataupun apa yang dicakap oleh presiden dan juga pandangan-pandangan lain,"katanya pada sidang media selepas merasmikan Wacana Aspirasi UMNO bertajuk ‘Menggalas Perjuangan, Mendepani Cabaran’ di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini pada Rabu.
Justeru, beliau berharap tiada pihak yang membuat andaian secara berlebih-lebihan.
"Saya harap supaya individu-individu baik dari UMNO atau mana-mana biar parti buat keputusan jangan buat andaian-andaian, jadi kelam kabut.
"Jangan kelam kabut sangat. Bila parti buat keputusan nanti, ia adalah satu keputusan untuk kebaikan parti," katanya.
Hubungan dingin dalam kerjasama UMNO dan Pas menerusi MN semakin ketara lebih-lebih lagi Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini berkata UMNO perlu melupakan kerjasama dengan Pas melalui MN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Setiausaha Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub juga mendesak UMNO mengeluarkan kenyataan rasmi untuk menamatkan kerjasama MN mengelakkan salah faham selain menghentikan polemik yang tercetus.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!