Jenazah bekas ketua wartawan Sinar Harian selamat dikebumikan
MELAKA - Jenazah bekas Ketua Wartawan Sinar Harian Melaka dan Negeri Sembilan, M Jeffri Razali selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang Temu di sini, pada Rabu.
Allahyarham, 54, meninggal dunia akibat serangan jantung ketika menjalani dialisis di Hospital Melaka ekoran mengidap penyakit kencing manis kira-kira jam 7.30 malam Selasa.
Isteri Allahyarham, Umirah Fuziah Atan, 51, berkata, jenazah suaminya dibawa ke tanah perkuburan berkenaan selepas disembahyangkan di Surau Selat Taman Padang Temu Indah.
Menurutnya, Allahyarham menerima rawatan di hospital berkenaan akibat jangkitan kuman sejak tiga minggu lalu sebelum kesihatannya merosot.
"Sebelum itu pada Mac lalu, arwah diserang angin ahmar.
"Kami sekeluarga reda dengan pemergiannya yang telah beberapa tahun menjalani rawatan dialisis," katanya ketika ditemui pemberita.
Hadir sama Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan, Datuk Muhammad Jailani Khamis.
Allahyarham meninggalkan tiga anak Muhammad Amirul Amsyar, 26; Nur Amira Najwa, 23, dan Nur Amira Dhamia, 9.
Allahyarham sebelum ini pernah berkhidmat lebih 25 tahun dalam bidang kewartawanan.
Allahyarham berkhidmat sebagai Ketua Wartawan Sinar Harian Melaka dan Negeri Sembilan sehingga 2018 sebelum mengambil keputusan meletakkan jawatan kerana faktor kesihatan.
Beliau juga pernah menjawat jawatan sebagai wartawan dan Ketua Biro New Straits Time (NST) pada 1991 hingga 2003, sebelum dilantik sebagai Pengarang di Melaka Hari Ini bermula 2005 hingga 2007.
.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!