Kenaikan harga minyak dan gas, lonjakan ekonomi Malaysia

Harga minyak Brent melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh 14 tahun iaitu AS$140 setong berikutan kesan pencerobohan Russia ke atas Ukraine pada Mac lalu.
Harga minyak Brent melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh 14 tahun iaitu AS$140 setong berikutan kesan pencerobohan Russia ke atas Ukraine pada Mac lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pasaran minyak dan gas yang kukuh serta harga komoditi tinggi akan menyokong lembaran imbangan kerajaan Malaysia yang bakal membawa kepada lebih banyak pelaburan prasarana yang berkait secara langusng dengan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK).

Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari berkata, hasil tinggi akan mengurangkan defisit belanjawan yang memberikan lebih banyak ruang bagi kerajaan untuk mengemudi fiskal bagi menangani krisis pada masa depan.

"Kami menjangka harga minyak kekal tinggi kerana permintaan masih sangat kukuh. Ini memberi prospek yang baik bagi Malaysia. Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) mengunjurkan permintaan global bagi minyak mentah pada 2022 melepasi paras dua tahun lepas.

"Menjelang 2023, ia akan melepasi paras 2019 dan dijangka terus meningkat. IEA menjangkakan permintaan sebanyak 99.4 juta tong sehari pada 2022, 101.2 juta tong sehari pada 2023 dan 103.2 juta tong sehari pada 2025,” kata Kashif dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga berkata, minyak sawit menyumbang 6.5 peratus daripada jumlah eksport dengan eksport minyak sawit dan produk pertanian berkaitan berjumlah RM8.52 bilion pada Mac tahun ini, 56 peratus lebih tinggi berbanding tempoh yang sama tahun lepas. Larangan eksport minyak sawit oleh Indonesia juga membantu Malaysia meningkatkan lagi bahagian pasarannya.

Sementara itu, Juwai IQI juga menjangkakan, KDNK 2022 berada antara paras 4.0 peratus dan 5.0 peratus, pencapaian memberangsangkan dalam persekitaran pertumbuhan global yang dijangka perlahan.

"Kami yakin dengan prospek ekonomi Malaysia berikutan kitaran positif komoditi yang kami jangka berterusan sekurang-kurangnya sehingga enam suku akan datang,” kata Kashif.

Menurutnya, kerajaan Malaysia mencapai kemajuan ketara dalam usaha memulihkan kestabilan makroekonomi dengan dasar-dasar yang menyokong pertumbuhan pesat sejak 17 bulan lepas.

Bagaimanapun katanya, 2022 masih menjadi tahun mencabar berikutan isu geopolitik yang berlarutan, pandemik COVID-19 dan gangguan rantaian bekalan yang akan memberi kesan kepada ekonomi Malaysia seperti rakan dagangnya.

"Kerajaan mengandaikan faktor-faktor ini akan mengurangkan KDNK Malaysia sebanyak 0.2 peratus.

"Apabila ekonomi berkembang dan pekerjaan meningkat, pasaran kediaman juga cenderung untuk mencatatkan prestasi yang baik.

"Jangkaan peningkatan kadar faedah mungkin mengekang harga rumah daripada melonjak terlalu pantas. Bilangan urus niaga dan permintaan bagi perumahan dijangka meningkat dengan ketara,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!