Pesawah gesa MAFI selesai tiga tuntutan

Suee Lim bersama pesawah berhimpun bagi mendesak MAFI menyelesaikan tiga tuntutan pada Rabu. Gambar kecil: Sabli dan Muhammad
Suee Lim bersama pesawah berhimpun bagi mendesak MAFI menyelesaikan tiga tuntutan pada Rabu. Gambar kecil: Sabli dan Muhammad
A
A
A

SEKINCHAN - Kira-kira 100 pesawah di Sungai Burong dan Sekinchan mengadakan bantahan aman bagi menggesa Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menyelesaikan tiga tuntutan.

Perhimpunan bermula jam 11.30 pagi itu berlangsung kira-kira 10 minit yang turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan, Ng Suee Lim.

Tiga tuntutan itu adalah menggesa MAFI menaikkan harga padi, mengembalikan pemutuan padi 17 peratus dan menaikkan subsidi padi.

Suee Lim berkata, perhimpunan itu diadakan bagi melahirkan rasa tidak puas hati pesawah yang terkesan dengan harga padi yang menurun daripada RM1,300 kepada RM1,280 satu tan metrik.

"Pesawah hari ini tampil ke hadapan dengan satu hasrat bagi menyatakan rasa tertekan mereka apabila harga padi menurun hingga menjejaskan pendapatan mereka pada musim ini," katanya ketika sidang akhbar selepas perhimpunan di Site B Sekinchan di sini pada Rabu.

Suee Lim yang juga Speaker DUN Selangor berkata, jika kerajaan bersedia melaksanakan gaji minimum sudah tentu nasib dan taraf hidup pesawah juga perlu diberi perhatian serius.

"Pelaksanaan gaji minimum daripada RM1,200 kepada RM1,500 sesuatu yang disambut baik, tetapi bagaimana nasib pesawah kita yang berkorban demi negara lebih-lebih lagi pendapatan mereka secara purata hanyalah RM1,000 sebulan.

"Pendapatan yang diperoleh mereka ini sudah tentu tidak mencukupi untuk menyara keluarga yang ketika ini berdepan kos sara hidup tinggi," jelasnya.

Beliau berkata, selain isu harga padi, pesawah terus dihimpit tekanan apabila berdepan dengan pemutuan padi yang tinggi hingga melebihi 28 peratus.

"Kami mendesak kerajaan mengurangkan pemotongan pemutuan padi kembali kepada 17 peratus dan bukannya 20, 25 atau 30 peratus pada masa sekarang," katanya.

Jelas beliau, kerajaan juga diminta mempertimbang untuk menaikkan subsidi padi kepada pesawah daripada RM360 satu tan metrik kepada RM500 tan metrik.

Katanya, kenaikan itu wajar bagi membantu pesawah yang selama ini mengerah keringat dan membanting tulang bagi memastikan jaminan bekalan makanan negara mencukupi.

"Kita meminta tiga tuntutan ini dan saya sendiri sudah menghantar surat kepada MAFI sejak dua hari lalu bagi memastikan ada jalan penyelesaian berhubung perkara ini," katanya.

Seorang pesawah di Sungai Burong, Sabli Sobron, 60, berkata, peningkatan kos input pertanian membebankan pesawah lebih-lebih dalam keadaan harga padi menurun dan pemotongan pemutuan tinggi.

Katanya, terdapat pengurangan hasil pengeluaran pada tahun ini disebabkan peningkatan kos pertanian.

"Harga baja dan racun naik sekali atau dua kali ganda dan keadaan ini amat meresahkan kami yang bergantung sepenuhnya kepada sumber pendapatan tersebut," katanya.

Seorang lagi pesawah, Muhammad Osman, 56, dari Parit 4 berkata, hasil pengeluaran padinya terjejas teruk daripada memperoleh purata 10 tan metrik tahun sebelumnya berbanding enam tan metrik pada musim ini.

Sementara itu, Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras Negeri Selangor, Mohammad Ashik Abdul Rahman berkata, aduan daripada pesawah itu wajar dan berasas.

Menurutnya, beliau akan memanjangkan perkara itu kepada pihak tertinggi.

Katanya, berhubung harga padi dan pemotongan pemutuan pula pihaknya akan memanggil pihak kilang padi tempatan bagi membantu menyelesaikan perkara itu.

"Mungkin minggu ini atau minggu depan kita akan berbincang dengan pengilang mengenai harga padi dan pemotongan pemutuan bagi mengurangkan keresahan pesawah," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!