Bomba selamatkan wanita OKU, rumah dilanda ribut

Anggota bomba menyelamatkan wanita OKU selepas rumahnya dilanda ribut pada awal pagi Rabu.
Anggota bomba menyelamatkan wanita OKU selepas rumahnya dilanda ribut pada awal pagi Rabu.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menyelamatkan seorang wanita orang kurang upaya (OKU) selepas rumahnya dilanda ribut di Jalan Lengkungan Tanjong Karang di sini pada awal pagi Rabu.

Pengarah JBPM Selangor, Norazam Khamis berkata, mangsa berusia 40 tahun yang menghidap angin ahmar itu dibawa keluar dari rumah kira-kira jam 4 pagi.

Menurutnya, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada suami wanita itu pada jam 3.38 pagi.

"Seramai lima anggota termasuk pegawai dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjong Karang dikejarkan ke tempat kejadian.

"Hasil pemeriksaan mendapati rumah wanita itu mengalami kerosakan bumbung yang diterbangkan angin akibat ribut," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurut beliau, anggota bomba kemudian mengangkat dan membawa keluar mangsa dengan menggunakan kerusi roda.

Tambahnya, wanita itu didapati tidak mengalami sebarang kecederaan dan dibawa ke kawasan selamat.

"Mangsa kemudian diserahkan kepada waris iaitu anaknya untuk urusan lanjut.

"Pemantauan menyeluruh sedang dijalankan bagi mengesan sekiranya ada mangsa ribut lain yang terjejas," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!