UMNO perlu dibersihkan dari rasuah, salah guna kuasa

Mohd Yussof
Mohd Yussof
A
A
A

GEORGETOWN - UMNO memerlukan suntikan semangat baharu termasuk melaksanakan pembersihan parti supaya ia boleh muncul kembali sebagai jaguh dalam perjuangan kepada agama, bangsa dan negara.

Veteran UMNO, Tan Sri Mohd Yussof Latiff berkata, semua pemimpin dan anggota UMNO perlu berani membersihkan parti keramat itu dari sebarang kekotoran akibat rasuah dan salah guna kuasa sebagai satu semangat baharu sempena menyambut ulang tahun UMNO yang ke-76 tahun ini.

Menurutnya, sebagai veteran UMNO, beliau dapat melihat beberapa pemimpin yang pernah terpalit dengan isu-isu rasuah masih lagi mahu memegang jawatan dalam parti malah mereka masih mahu menjadi wakil rakyat kerana masih mengejarkan kemewahan hidup.

"Hanya dengan usaha membersihkan parti itu sahaja, anak-anak muda di negara ini akan bersedia untuk mewarisi kepimpinan parti keramat yang begitu banyak berjasa kepada bangsa, negara dan agama.

“Jika UMNO mahukan sokongan padu orang Melayu, UMNO harus bersikap terbuka dan pemimpin-pemimpinnya harus berjiwa besar untuk menerima teguran, kritikan malah sanggup berundur jika mereka di nasihat, di minta mahupun di desak untuk berbuat demikian demi menyelamatkan parti kesayangan orang Melayu ini,"katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, Mohd Yussof berpendapat usaha untuk meremajakan UMNO telah gagal apabila ramai anak-anak muda Melayu yang terpelajar hasil daripada jasa dan perjuangan UMNO tidak ditarik untuk menyertai barisan kepimpinan UMNO diperingkat cawangan-cawangan dan bahagian-bahagian seterusnya di peringkat kebangsaan.

"Kita juga masih boleh melihat pemimpin UMNO yang telah memegang jawatan sejak berpuluhan tahun, pernah menjadi Menteri, direhatkan dari kabinet, dilantik semula menjadi Menteri sehingga rakyat telah bosan dan mual dengan mereka, tetapi mereka masih berbangga kerana mampu menjadi Menteri setelah berdamping dengan sesiapa sahaja yang menjadi Perdana Menteri.

"Kepada mereka ini, saya ingin menasihati sudah-sudahlah berilah laluan kepada generasi baharu pula. Cukuplah sekadar menjadi penasihat. Anda telah memegang jawatan dari rambut yang hitam lebat sehingga menjadi rambut yang jarang dan putih," katanya lagi.

Beliau berkata, sekiranya UMNO mahu kembali mentadbir negara bersama Barisan Nasional (BN), pemimpinnya harus membuktikan sikap keterbukaan, berintegriti, jujur, ikhlas dan amanah dengan tidak lagi pentingkan diri untuk mengaut kekayaan peribadi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!