MAFI sasar pengurangan 30 peratus import makanan ternakan
PADANG BESAR - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menyasarkan pengurangan import makanan ternakan sebanyak 30 peratus menjelang tahun 2030 menerusi Projek Pembangunan Industri Jagung Bijian untuk makanan ternakan.
Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) MAFI, Datuk Badrul Hisham Mohd berkata, buat masa ini, Malaysia mengimport sekitar 4 juta tan matrik jagung bijian dengan nilai lebih kurang RM6.2 bilion setahun.
Beliau berkata, bagi mencapai sasaran itu, keluasan tanah yang besar diperlukan untuk melaksanakan tanaman jagung bijian yang dilihat dapat menjadi sumber kekayaan baharu buat pemain industri di negara ini.
"Buat masa ini kami sedang berusaha membawa bersama pemain industri komoditi besar untuk terlibat dalam tanaman jagung bijian ini.
"Kami turut berbincang dengan pemain industri sawit supaya dapat memperuntukkan 10 peratus daripada tanah mereka untuk melaksanakan tanaman jagung bijian," katanya selepas Program Tinjauan Mesra Penunaian Jagung Bijian di Lembah Chuping di sini, hari ini.
Hadir sama dalam program itu Ketua Pengarah Jabatan Pertanian Malaysia, Datuk Zahimi Hassan; Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veteriner, Datuk Dr Norlizan Mohd Noor dan Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikan) Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr Mohammad Kamal Abdul Kadir.
Badrul berkata, MAFI melihat terdapat keperluan cukup tinggi untuk kerajaan mencari formula baharu bagi mengatasi masalah pengimportan jagung bijian yang sangat tinggi dari luar negara.
"Jadi dalam menjayakan usaha ini kerajaan tidak boleh bersendirian, sebab itu kami perlu bawa pemain industri untuk sama-sama terlibat dalam penanaman jagung bijian ini," katanya.
Dalam pada itu, Badrul berkata, usaha bagi mengurangkan kebergantungan terhadap pengimportan jagung bijian telah dimulakan sejak 2015 lagi dan mengambil tempoh sekurang-kurangnya 15 tahun dengan tiga fasa pelaksanaan.
Menurutnya, tempoh yang panjang diperlukan bagi membolehkan penelitian dan kajian dibuat bersama pihak berkepentingan, sekali gus mewujudkan sebuah industri yang stabil.
"Kami kini berada di penghujung fasa rintis selama lima tahun bermula 2015 sehingga 2022 dan selepas itu akan beralih ke fasa pengukuhan serta pengembangan.
"Sepanjang tempoh ini, kami menilai pelbagai aspek yang perlu diberi perhatian antaranya kaedah penanaman, penggunaan benih yang sesuai, cuaca, kawalan kualiti dan pelbagai lagi," katanya.
Beliau berkata, sekiranya kerajaan dapat menyelesaikan isu bekalan makanan untuk ternakan, rakyat pasti akan mendapat manfaat daripadanya di samping mengurangkan perbelanjaan pemberian subsidi. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!