Pemuda didakwa tipu lima peniaga sewa tapak bazar Ramadan

Mohamad Nurul Akhbar (tiga dari kanan) dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur bagi menghadapi lima pertuduhan kes menipu peniaga berhubung sewa tapak bazar Ramadan, bermula Februari lalu.
Mohamad Nurul Akhbar (tiga dari kanan) dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur bagi menghadapi lima pertuduhan kes menipu peniaga berhubung sewa tapak bazar Ramadan, bermula Februari lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pemuda mengaku tidak bersalah di lima Mahkamah Majistret berasingan di sini pada Rabu atas lima pertuduhan menipu lima peniaga dengan menawarkan tapak bazar Ramadan di Stadium Bukit Jalil yang tidak wujud, bermula Februari lalu.

Mohamad Nurul Akhbar Maula Yusoff, 20, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Fardiana Haryanti Ahmad Razali, Noorelynna Hanim Abd Halim, Nadia Othman, Wong Chai Sia dan Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim.

Mengikut kesemua pertuduhan, pemuda itu didakwa menipu empat wanita dan seorang lelaki berusia antara 24 hingga 35 tahun, dengan memperdaya mangsa dalam urusan menawarkan sewa tapak bazar Ramadan di Stadium Bukit Jalil yang tidak wujud.

Perbuatan itu telah mendorong kesemua mangsa menyerahkan wang berjumlah RM10,800 yang mana mereka tidak akan memberikannya, jika tidak diperdayakan sedemikian.

Ia melibatkan jumlah terendah sebanyak RM1,500 manakala tertinggi ialah RM2,700.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di empat kediaman mangsa sekitar Cheras, Puchong dan Bukit Jalil serta satu bank di Taman Shamelin di sini, antara 7 Februari hingga 30 Mac lalu.

Ia merupakan suatu kesalahan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dalam kes ini, tertuduh diwakili peguam, Mu'az Alwwal Mohamad Zafarullah.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,700 bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan tarikh 13 Jun, 4 dan 23 Julai depan untuk sebutan semula kes.

Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan, pihak polis menahan seorang pemuda yang disyaki terlibat dalam penipuan berkaitan sewaan tapak bazar Ramadan dan Festival Aidilfitri di Stadium Bukit Jalil di sini.

Kesemua mangsa mendakwa ditipu selepas bazar Ramadan dan Festival Aidilfitri di Stadium Bukit Jalil tidak dibuat seterusnya gagal menerima duit pendahuluan mereka.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!