24 sekolah di Beaufort, Tenom ditutup akibat banjir

SJKC Pada di Tenom antara sekolah yang ditutup akibat banjir susulan hujan berterusan di Beaufort dan Tenom sejak Isnin.
SJKC Pada di Tenom antara sekolah yang ditutup akibat banjir susulan hujan berterusan di Beaufort dan Tenom sejak Isnin.
A
A
A

KOTA KINABALU - Sebanyak 24 sekolah di Beaufort dan Tenom ditutup hari ini akibat banjir susulan hujan berterusan sejak Isnin.

Pengarah Pendidikan Sabah, Datuk Dr Mistirine Radin berkata penutupan sekolah buat sementara waktu termasuk sebuah sekolah menengah itu melibatkan seramai 474 guru dan 4,526 murid.

Beliau berkata, 17 sekolah di Beaufort melibatkan Sekolah Menengah Kebangsaan St Paul, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Lian Hwa, Sekolah Kebangsaan (SK) Lago, SK Pekan Membakut dan SK Bangkalalak.

"Turut ditutup, SK Kabajang, SK Batu 60, SK Batandok, SK St John, SK St Paul, SK Luagan, SK Klias Baru, SK Garama, SK Mempagar, SK Biah Batu 65, SK Suasa, SK Lupak, dengan kesemua melibatkan 361 guru dan 3,656 pelajar,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Di Tenom, Mistirine berkata, ia melibatkan SK Gumisi, SK Ladang Sapong, SJKC Yuk Syn, SJKC Pada, SK Inubai dan SK Sumambu, manakala SK Mandalom ditutup untuk dijadikan pusat pemindahan sementara bagi menempatkan mangsa banjir di kampung berhampiran.

"Penutupan sekolah buat sementara waktu di daerah berkenaan melibatkan seramai 113 guru dan 870 murid,” katanya.

Pada Selasa, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah memaklumkan 49 kampung di Beaufort dan Tenom terjejas banjir berikutan hujan lebat berterusan sejak petang Isnin. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!