PRU15: Rafizi dakwa 63 peratus pengundi tak tahu pilih parti mana

A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli mendakwa 63 peratus daripada pengundi di negara ini tidak mengetahui untuk memilih mana-mana parti dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Bekas Ahli Parlimen Pandan itu berkata, pengundi mengharapkan suatu pembaharuan dilakukan.

“Suara rakyat mahukan pimpinan PKR dan Pakatan Harapan (PH) tidak bersikap defensif dan menerima maklumbalas yang telah dizahirkan dalam empat Pilihan Raya Negeri (PRN) berturut-turut,” katanya dalam program Berani Semuka: Siapa Layak Bersama Anwar? berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf, di sini pada Rabu.

Program itu turut menampilkan seorang lagi calon Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian.

Mengulas lanjut, Rafizi turut mengkritik strategi khemah besar Pakatan Harapan (PH) sambil menyatakan ia akan menyebabkan gabungan itu lari daripada fungsi utama sebagai gagasan politik.

Tegasnya, PH perlu mengubah cara dan meninggalkan strategi khemah besar tersebut.

"Kalau terus berunding itu bermakna kita terpaksa memeluk kembali watak-watak yang sebelum ini kita kritik dan dibenci rakyat.

"Ia akan melunturkan kepercayaan rakyat bahawa parti-parti politik yang ada di negara ini semuanya membawa matlamat menghalalkan cara demi untuk mendapatkan kuasa," jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!