Pemilihan PKR bukan soal pengurusan, isi kedudukan dalam parti
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada tahun ini bukan hanya mengenai pengurusan dan mengisi kedudukan di dalam parti.
Calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli sebaliknya berkata, pemilihan ini adalah satu tanggungjawab yang cukup besar kepada sesiapa yang terpilih.
“Bukan hanya rakyat dapat pilihan yang terbaik dalam memilih kerajaan tetapi juga yang dipilih itu dapat melaksanakan tanggungjawab dari segi menjadi pentadbir yang cekap dan kreatif sehingga dapat menyelesaikan masalah-masalah secukupnya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program Berani Semuka: Siapa Layak Bersama Anwar? yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf, di sini pada Rabu.
Program itu turut menampilkan seorang lagi calon Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian.
Mengulas lanjut, Rafizi yang merupakan bekas Ahli Parlimen Pandan menambah, sekiranya ahli parti itu mahu individu yang mahu menguruskan parti dan mengutamakan soal pentadbiran, mereka boleh memilih Saifuddin.
"Beliau (Saifuddin) adalah Setiausaha Agung yang paling lama dalam parti ini.
"Kalau ahli parti merasakan dengan pembawaan PKR seperti sekarang iaitu diplomasi, pengurusan dan segalanya berbentuk dalaman itu akan memenangkan PKR, maka itulah yang perlu dibuat dalam masa membuang undi nanti," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!