Individu fitnah KDA FC bakal disaman: Muhammad Sanusi
KEDAH Darul Aman FC (KDA FC) tidak teragak-agak untuk menyaman mana-mana pihak yang menyebarkan berita fitnah kononnya tunggakan gaji pemain menyebabkan aksi hambar pasukan Hijau Kuning.
Menteri Besar Kedah yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KDA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan, tiada sebarang tunggakan gaji pemain seperti yang didakwa.
Menurut Muhammad Sanusi, beliau telah dimaklumkan pengurusan KDA FC bahawa tiada sebarang tunggakan gaji melibatkan pasukan itu.
"KDA FC akan menyaman individu yang menyebarkan dakwaan kononnya pengurusan tidak membayar gaji pemain.
“Tunggulah surat saman. Selamat menjawab di mahkamah kepada pihak yang ‘gatal tangan’ itu,” katanya.
Beliau berkata sedemikian kepada pemberita ketika sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco Kedah di Wisma Darul Aman dekat sini pada Rabu.
Tambah Muhammad Sanusi, individu terbabit cuba timbulkan isu tunggakan gaji kerana ingin menyalahkan kerajaan negeri walaupun KDA FC adalah milik syarikat swasta.
Ketika diminta mengulas aksi pasukan KDA FC yang agak kurang memberangsangkan, Muhammad Sanusi berkata, beliau juga kurang berpuas hati dengan kekalahan beberapa kali pasukan itu.
“Bagaimanapun, saya serahkan kepada pasukan KDA FC dan jurulatih untuk memperbaiki prestasi mereka," katanya.
Menurut Muhammad Sanusi, beliau tidak mahu mengacau pasukan berkenaan, namun seperti peminat beliau berharap Kedah akan memang.
Tambah beliau, pihaknya yakin KDA FC dapat mengatasi sebarang masalah dan membaiki prestasi pasukan tersebut.
“Saya sebagai Presiden KDA sentiasa membantu dan masih membantu dalam pengurusan kewangan. Insya-ALLAH, kita akan dapat keputusan lebih baik,” katanya.
Katanya, pemain KDA FC merupakan pemain yang bagus dan diyakini akan mempamerkan aksi memberangsangkan setelah pengurusan membuat sedikit perubahan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!