13,350 hektar sawah dikhuatiri terjejas

Keadaan runtuhan ban terusan tengah di Sungai Santap hingga menyebabkan gangguan bekalan air di beberapa daerah di Kedah.
Keadaan runtuhan ban terusan tengah di Sungai Santap hingga menyebabkan gangguan bekalan air di beberapa daerah di Kedah.
A
A
A

ALOR SETAR – Kira-kira 13,350 hektar sawah padi dikhuatiri terjejas sekiranya runtuhan ban kanan Terusan Tengah di Sungai Santap di sini, pada Isnin lepas tidak dibaiki segera.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor melahirkan kebimbangan penyusutan paras air akan terus berlaku selagi pembaikan semula tidak dilaksana.

“Jadi, saya mohon kejadian runtuhan ban ini diberi perhatian juga oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Majlis Keselamatan Negara.

“Ia disebabkan berlaku penyusutan paras air selagi tidak dibaiki runtuhan, sekaligus akan menjejaskan 13,350 hektar sawah padi,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas Mesyuarat Exco Kedah di Wisma Darul Aman dekat sini, pada Rabu.

Muhammad Sanusi berkata, seramai 40,000 petani dengan pengeluaran hasil padi mencecah puluhan ribu tan dikhuatiri terjejas akibat runtuhan ban tersebut.

"Ketika ini musim menanam padi dan musim untuk air masuk ke petak sawah di Kedah. Kerja membina sekatan sementara bagi meningkatkan paras 1 meter (m) air hanya untuk air Syarikat Air Darul Aman (SADA), manakala untuk sawah padi melibatkan kerja pembaikan lain.

“Jadi kena baiki dengan kos antara RM1.5 hingga RM1.8 juta. Itu anggaran awal. Tapi jikalau kita nak ban lebih kukuh memandangkan ia lokasi pengaliran air,” katanya.

Menurutnya, agensi terlibat melakukan melakukan segera kerja pembaikan semula ban runtuh dengan struktur lebih kukus, kemas dan tinggi.

“Jadi, MAFI dan MKN perlu melihat isu ini kerana ia melibatkan keselamatan makanan negara, lagipun 13,350 hektar sawah padi ini merupakan satu per tiga dari kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA),” katanya.

Katanya, kerja membelat dilakukan pada Selasa yang untuk melimpah air masuk ke terusan tengah pada paras yang membenarkan Loji Rawatan Air (LRA) beroperasi.

“Selepas itu, kita perlu usahakan supaya air boleh dipam masuk ke sawah padi pula. Kerja-kerja pembaikan ban perlu siap dalam tempoh dua minggu bagi memastikan tiada sawah padi yang akan terjejas akibat runtuhan ban itu.

“Jikalau kita tidak baiki dalam tempoh berkenaan, mungkin padi akan rosak. Jadi, kena perbaiki dalam masa sebelum dua minggu,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Muhammad Sanusi memberitahu, gangguan bekalan air di daerah Pokok Sena dan Kota Setar berpunca dari runtuhan ban kanan Terusan Tengah di Sungai Santap di sini, makin pulih secara berperingkat.

Beliau menyatakan, setakat ini hanya 38,500 pengguna akaun Syarikat Air Darul Aman (SADA) masih mengalami gangguan bekalan air.

Mengulas lanjut katanya, kerja-kerja pembinaan ban sementara MADA siap pada jam 12.25 tengah malam dan bekalan air mentah daripada terusan telah dilepaskan.

"LRA Bukit Pinang dan LRA Jenun Baru beroperasi sepenuhnya, manakala LRA Jenun Lama telah beroperasi 70 peratus.

“Bagi LRA Pokok Sena, tinjauan mendapati berlaku sedikit peningkatan paras pengambilan air dan kerja pengoperasian loji sedang dilaksanakan 50 peratus.

"Lori tangki, tangka statik dan ‘jumbo tanker’ telah diletakkan di beberapa kawasan seperti Masjid Pokok Pauh, Kubur Panjang; Simpang Tiga,Bukit Payung; Masjid Kampung Kolam, Jalan Kebun 500; Jalan Pancur, Pokok Sena; Taman Bandar Baharu, Pokok Sena dan Masjid Kuala Pai, Bukit Tembaga," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!