12,659 pemilik akaun keldai dituduh di mahkamah
SHAH ALAM - Seramai 12,659 pemilik akaun keldai atau 'mule account' yang digunakan oleh sindiket penipuan telah dituduh di mahkamah sejak tahun lalu sehingga 10 Mei kerana membenarkan akaun bank mereka digunakan untuk aktiviti jenayah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, siasatan polis mendapati majoriti daripada pemilik akaun keldai terbabit menyedari bahawa tindakan membenarkan akaun bank atau kad mesin juruwang automatik (ATM) mereka digunakan oleh pihak ketiga adalah salah di sisi undang-undang.
Menurutnya, sebanyak 31,438 akaun keldai dikesan sejak tahun 2021 sehingga 10 Mei dan daripada jumlah itu, seramai 12,659 pemilik akaun keldai ditahan dan dituduh di mahkamah kerana membenarkan akaun digunakan untuk aktiviti jenayah.
"Keldai akaun ini adalah individu atau syarikat membenarkan akaun banknya dikawal dan digunakan oleh penjenayah dengan cara pemilik akaun menyerahkan kad ATM atau memberi kata laluan perbankan dalam talian untuk menerima wang hasil daripada aktiviti jenayah," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, trend terkini pihak sindiket yang menggunakan akaun keldai terbabit didapati semakin berleluasa terutama membabitkan penipuan menerusi platform dalam talian dan media sosial.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa Polis Diraja Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah mendedahkan maklumat perbankan dan berkongsi akaun bank mereka kepada penjenayah.
"Pihak yang membenarkan akaun bank mereka digunakan untuk menerima wang hasil daripada aktiviti jenayah dan individu atau syarikat yang terlibat akan disiasat sebagai rakan sejenayah yang bersubahat," katanya.
Mohd Kamarudin berkata, individu dan syarikat yang tidak lagi mempunyai kawalan ke atas akaun bank mereka diberi amaran supaya segera menutup akaun berkenaan untuk mengelakkan ditahan pihak polis sekiranya akaun terbabit digunakan untuk aktiviti jenayah.
Tegasnya, individu yang didapati akaun mereka digunakan untuk aktiviti jenayah akan disenarai hitam oleh pihak Bank Negara Malaysia (BNM) dan mereka tidak akan dibenarkan untuk membuka akaun baharu di setiap institusi kewangan dalam negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!