'Raya mengejut, banjir pun mengejut'

Marhumah (tengah) bersama anaknya ketika berada di PPS Dewan Selagon, Beaufort.
Marhumah (tengah) bersama anaknya ketika berada di PPS Dewan Selagon, Beaufort.
A
A
A

BEAUFORT - Suasana Aidilfitri bagi lima beranak bertukar menjadi suram apabila rumah mereka dinaiki air banjir sejak Syawal kelapan di Kampung Bakalau, di sini.

Marhumah Arifin, 50, berkata, mereka sekeluarga terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Selagon selepas air mulai naik sejak malam Selasa.

"Tahun ini bukan saja hari raya mengejut tetapi banjir pun mengejut apabila air mulai naik sehingga ke paras paha di bahagian dapur rumah.

"Hujan tidak juga berterusan tetapi keadaan di Tenom menyebabkan air Sungai Padas melimpah yang kebetulan berhampiran rumah kami," katanya ketika ditemui di PPS Selagon di sini pada Rabu.

Katanya lagi, mujur mereka bertindak pantas keluar dari rumah kerana bimbang keselamatan cucunya yang masih kecil.

Keadaan banjir di sekitar kampung di Beaufort.
Keadaan banjir di sekitar kampung di Beaufort.

"Apa-apa pun kami selamatkan diri dulu termasuk cucu saya. Biarlah barang rumah rosak termasuk tikar setiap kali banjir bertukar baharu tetapi keselamatan tetap diutamakan.

"Tengah malam kami mulai mengemas semua barangan rumah termasuk kuih-muih raya sebelum ditenggelamkan air banjir dan berpindah sendiri ke PPS pada jam 3 pagi," katanya.

Sementara itu, Asnidah Arase, 35, berkata, sambutan Syawal tahun ini hanya sehingga hari ke tujuh kerana pada hari seterusnya keadaan mulai menunjukkan banjir akan berlaku.

"Kami juga mengambil inisiatif untuk berpindah sendiri ke PPS kerana bimbang dengan keadaan air sungai yang mulai meningkat," katanya.

Sementara itu, Pegawai Daerah Beaufort, Mohd Nazri Ajun berkata, seramai 218 mangsa banjir dipindahkan ke PPS itu iaitu membabitkan penduduk dari Kampung Bakalau.

Mohd Nazri
Mohd Nazri

"Banjir kali ini berpunca daripada keadaan hujan lebat dan kita difahamkan empangan hidro Pangi di Tenom dibuka menyebabkan limpahan air sungai ke daerah Beaufort.

"Bagaimanapun, disebabkan Beaufort merupakan daerah yang kerap dilanda banjir, jadi persediaan sudah dibuat lebih awal termasuk dari segi untuk pemindahan mangsa banjir dan pasukan penyelamat," katanya.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di sekitar kampung di Beaufort mendapati beberapa laluan sukar dilalui oleh kenderaan ringan dan menyebabkan penduduk terputus hubungan.

Sebanyak 56 kampung turut terjejas berikutan jalan terputus akibat dinaiki air banjir.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!