Hanoi 2021: Skuad futsal negara akur kehebatan Thailand

Antara aksi menarik Malaysia menentang Thailand dalam saingan liga sepusingan Sukan SEA Hanoi 2021 di Kompleks Sukan Ha Nam pada Rabu. - Foto Football Association of Malaysia
Antara aksi menarik Malaysia menentang Thailand dalam saingan liga sepusingan Sukan SEA Hanoi 2021 di Kompleks Sukan Ha Nam pada Rabu. - Foto Football Association of Malaysia
A
A
A

SKUAD futsal lelaki negara berdepan saat sukar menentang Thailand selepas tewas 2-6 pada aksi saingan liga sepusingan Sukan SEA Hanoi 2021 di Kompleks Sukan Ha Nam pada Rabu.

Ia kekalahan kedua pasukan negara di tangan Thailand dalam tempoh kira-kira sebulan selepas tewas 2-4 pada pertemuan aksi kumpulan Kejuaraan Futsal AFF 2022 di Bangkok, awal bulan lalu.

Pada aksi itu, Thailand ternyata berada pada kelas tersendiri apabila mudah merobek gawang skuad kendalian Chiew Chun Yong untuk mendahului 5-0 di separuh masa pertama.

Lima gol itu masing-masing disumbangkan Ronnachai Jungwongsuk pada minit pertama dan ke-19, Muhammad Osamanmusa (minit kelapan) dan Peerapat Kaewwilai pada minit keenam dan ke-16.

Bersambung babak kedua, Malaysia merapatkan kedudukan menerusi dua gol dijaringkan Ekmal Shahrin pada minit ke-35 dan Khairul Khairul Effendy Bahrin (minit ke-36).

Namun, Thailand yang merupakan pasukan gergasi Asia Tenggara tidak berdiam diri apabila pantas meledak gol keenam hasil penyudah Kaewwilai pada minit ke-38 sekali gus menoktahkan kemenangan pertama mereka di temasya sukan dwitahunan itu.

Sementara itu, Chun Yong mengakui para pemainnya memulakan permainan dengan aksi yang buruk dan kecewa dengan keputusan akhir.

"Sejujurnya pada separuh masa pertama kami bermain sangat buruk, pemain tidak sedar dan ia adalah amat buruk. Separuh masa kedua, kami buat beberapa perubahan taktikal kerana kami dapat lihat semua kesilapan terutama tiga gol dari situasi bola mati, yang tidak perlu.

"Kami buat perubahan dan beraksi seperti biasa kami bermain tetapi sudah tentu sudah terlambat.

Tetapi saya gembira pemain mencuba yang terbaik, tidak pernah berputus asa pada separuh masa kedua.

Tetapi ia sama sekali tidak boleh diterima pada separuh masa pertama menentang Thailand, jadi saya tidak mahu melihat kesilapan yang sama berlaku lagi menentang Vietnam,” katanya.

Malaysia akan meneruskan saingan bertemu Vietnam pada Sabtu, Indonesia (16 Mei) dan Myanmar pada 20 Mei di venue sama. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!