Dua beradik hidap masalah kesihatan perlu bantuan

Gambar kiri: Muhammad Rayyan terpaksa merangkak akibat masalah kesihatan dialaminya.
Gambar kanan: Keadaan Nur Ammara Sumayyah yang disahkan mengidap kanser neuroblastoma tahap empat pada tahun lepas.
Gambar kiri: Muhammad Rayyan terpaksa merangkak akibat masalah kesihatan dialaminya. Gambar kanan: Keadaan Nur Ammara Sumayyah yang disahkan mengidap kanser neuroblastoma tahap empat pada tahun lepas.
A
A
A

ALOR SETAR – Luluh hati sepasang suami isteri dari Pokok Sena di sini, apabila dua anak mereka disahkan mengalami masalah kesihatan.

Suri rumah, Zulfikah Azman, 26, berkata, dia dan suami, Muhamad Fazli Mustapa, 29, memiliki tiga cahaya mata termasuklah sepasang kembar perempuan.

Bagaimanapun, Zulfikah memberitahu, anak sulungnya, Muhammad Rayyan, 7, mengidap penyakit kepala besar atau hydrocephalus manakala anak keduanya, Nur Ammara Sumayyah, 4, disahkan mengidap kanser neuroblastoma tahap empat.

“Rayyan mengidap penyakit itu sejak lahir dan sudah menjalani pembedahan memasang 'shunt' (sejenis tiub) dari kepala ke usus bagi mengalirkan lebihan cecair.

“Disebabkan keadaan kesihatannya, Rayyan terpaksa merangkak dan menggunakan kerusi roda untuk ke sekolah,” katanya kepada pemberita pada Rabu.

Menurutnya, keadaan kepala Rayyan kini kelihatan normal selepas dipasang saluran tiub namun dia masih tidak mampu berjalan seperti kanak-kanak seusianya.

Katanya, anak lelakinya juga tidak mampu berjalan walaupun hanya beberapa langkah sekaligus menyebabkan kanak-kanak itu lebih kerap merangkak termasuklah ketika bermain dengan adik dan rakannya.

Mengulas lanjut, Zulfikah berkata, Rayyan turut mengalami masalah tulang belakang dan tidak memiliki deria rasa pada bahagian lutut ke bawah.

Katanya, Rayyan tidak sedar ketika membuang air kecil dan besar menyebabkan dia perlu memakai lampin pakai buang saiz dewasa.

Tambah Zulfikah, kini, anak perempuannya, Sumayyah pula terlantar apabila sel kanser neuroblastoma semakin merebak selepas disahkan mengidap penyakit itu tahun lepas.

“Pada mulanya, Sumayyah hanya mengadu sakit perut dan tidak mampu berjalan pada 21 Disember tahun lalu sebelum dia disahkan mengidap kanser neuroblastoma dua hari kemudian,” katanya.

Zulfikah memberitahu, Sumayyah sebelum ini merupakan seorang kanak-kanak aktif seperti adik kembarnya, Nur Ammara Sofia.

“Saya rasa sangat sedih melihat keadaannya sekarang apabila perut mula membesar, kaki dan tangannya mengecut dan berat badan pula makin susut.

“Difahamkan, kanser itu sudah merebak pada bahagian organ lain termasuk hati dan tulang sum sum.

Ia menyebabkan dia sering meracau dan menggigit bibir, jari serta pipi hingga berdarah akibat kesakitan dialami,” katanya.

Ujarnya lagi, keadaan kesihatan dua anaknya yang memerlukan rawatan berkala menyebabkan suaminya kerap mengambil cuti untuk membawa mereka ke hospital dan tidak dapat bekerja makan gaji.

“Sekarang, suami terpaksa mengambil upah melakukan kerja buruh seperti membuat rumah dan memotong rumput dengan pendapatan kira-kira RM500 sebulan,” katanya.

Bagaimanapun, jelasnya, pendapatan Muhamad Fazli dikhuatiri tidak mencukupi untuk menampung kos mereka sekeluarga terutama keperluan anak-anaknya.

Zulfikah Azman dan suaminya, Muhamad Fazli bersama tiga anak mereka.
Zulfikah Azman dan suaminya, Muhamad Fazli bersama tiga anak mereka.

“Bayangkan, kos lampin pakai buang Rayyan sahaja sudah mencecah hampir RM200 sebulan.

“Itu belum termasuk kos ulang-alik dari rumah ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dan Hospital Pulau Pinang (HPP),” katanya.

Beliau berkata, Persatuan Sahabat Kanak-Kanak Kanser Wilayah Utara (FOCCAN) ada melancarkan tabung bantuan untuk Sumayyah baru-baru ini dan diharapkan ada pihak sudi membantu keluarganya.

“Anak-anak saya ada menerima bantuan wang tunai keseluruhan sebanyak RM550 yang mana separuh daripadanya dimasukkan ke dalam akaun bank dan separuh lagi dalam bentuk pembelian barangan di kedai terpilih,” katanya.

Sementara itu, orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan kepada Rayyan dan Sumayyah boleh menghubungi ibu mereka ditalian 011-24240274.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!