Rafizi sedia terima idea khemah besar
SHAH ALAM - Calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli bersedia untuk menerima idea 'khemah besar' sebagai strategi memenangi pilihan raya umum akan datang sekiranya perkara itu diputuskan parti berkenaan.
Bekas Ahli Parlimen Pandan itu berkata, ia adalah ruang demokrasi di dalam parti yang mana sebarang keputusan diputuskan itu perlu dibawa pimpinan parti untuk perbincangan dengan pimpinan dalam Pakatan Harapan (PH).
"Jika dalam pemilihan parti kali ini dibuat keputusan bahawa parti merasakan perlu berunding dan bergabung dengan parti lain, saya terima perkara itu.
"Tetapi kita kena melalui proses (demokrasi)," katanya kepada pemberita selepas program Berani Semuka: Siapa Layak Bersama Anwar? yang turut menampilkan seorang lagi calon Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di Kompleks Kumpulan Karangkraf, di sini pada Rabu.
Mengulas lanjut, Rafizi menegaskan, proses sama juga perlu dilakukan dalam soal pemilihan calon untuk bertanding dalam pilihan raya umum.
"Ia bergantung kepada parti untuk isi siapa sebenarnya yang sesuai dengan watak dan pendekatan bagaimana yang sesuai dengan pilihan raya umum.
"Ini proses demokrasi. Saya merasakan pemilihan kali ini adalah satu peluang untuk seluruh anggota parti membuat keputusan ke arah mana kita nak pergi," katanya.
Sementara itu, Rafizi menegaskan walaupun terdapat beberapa perkara di dalam debat antara beliau dan Saifuddin Nasution menunjukkan pendiriannya berbeza dengan pimpinan parti yang lain, namun perkara itu diyakini tidak menjejaskan hubungannya dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekiranya beliau menang jawatan Timbalan Presiden.
"Saya rasa tidak (jejaskan hubungan) sebab dalam pimpinan PH ini baik dalam PKR, DAP dan Parti Amanah Rakyat (Amanah), mereka memang kenal peribadi saya. Saya memang tak sembunyi (apa-apa) dan perkara ini Anwar pun tahu.
"Soal hubungan baik dengan sesiapa, kita profesional. Saya ada pendirian saya, Anwar ada pendirian beliau. Walaupun banyak perbezaan pendapat, contohnya pada 2016 semasa saya dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail melancarkan PH, Anwar ketika itu berada di dalam penjara juga tidak bersetuju.
"Perbezaan pendapat itu sudah tentu ada dari semasa ke semasa tetapi yang penting kita tidak lari daripada landasan idealisme," jelasnya.
Dalam pada itu, Rafizi yakin ketelusan dan juga integriti Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR dalam menangani kes 54,000 pengundi hantu dalam parti itu.
"Maklum balas daripada JPP yang saya terima ialah mereka akan cuba sedaya upaya untuk memastikan seberapa ramai pengundi yang dikenal pasti ini dikategorikan sebagai pengundi ragu dan tidak dibenarkan mengundi," katanya.
Pada Selasa, media melaporkan Rafizi mendakwa pihaknya mengenal pasti terdapat 54,000 daftar pemilih meragukan di seluruh negara menjelang pemilihan PKR.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!