Hanoi 2021 petanda masa depan arena sukan Malaysia

Kem terjun sudah mencapai seperti apa yang dijangkakan dan mereka sudah menggondol enam emas, dua perak dan sebutir gangsa sebelum majlis pembukaan rasmi malam esok.
Kem terjun sudah mencapai seperti apa yang dijangkakan dan mereka sudah menggondol enam emas, dua perak dan sebutir gangsa sebelum majlis pembukaan rasmi malam esok.
A
A
A

SUKAN SEA Hanoi 2021 edisi ke-31 yang akan bermula secara rasmi di Vietnam pada Khamis bukan hanya pentas utama bagi atlet negara membuktikan keupayaan memburu kejayaan tetapi untuk menentukan unjuran sasaran kontinjen negara dalam temasya Sukan Olimpik Paris 2024 nanti.

Selepas pandemik Covid-19 menjejaskan senario sukan tempatan dan antarabangsa untuk selama dua tahun sejak awal 2020, momentum yang bakal diperoleh dari Sukan SEA ini dijangka akan dibawa bersama dalam temasya sukan utama yang akan datang.

Ini adalah penting kerana hampir 58 peratus atau 338 daripada 584 atlet Malaysia adalah mereka yang kali pertama menyertai sukan dwitahunan itu untuk mendapatkan pendedahan sulung di dalam peringkat antarabangsa.

Sama ada kejayaan manis, aksi sederhana atau kekecewaan, pelaburan yang dibuat sukan-sukan Malaysia dan ramalan masa hadapan akan diketahui menjelang majlis penutupan Sukan SEA Hanoi, yang tertangguh selama setahun oleh kerana Covid-19, sejak 23 Mei tahun lepas.

Sukan SEA ini akan menjadi pelantar pelancar untuk Sukan Komanwel Birmingham 2022 yang akan berlangsung dua bulan lagi dan Sukan Asia Hangzhou 2022 yang ditangguhkan baru-baru ini, sebelum misi Paris 2024 untuk membawa pulang emas impian.

Malaysia menyasarkan 146 pingat terdiri daripada 36 emas, 35 perak dan 75 gangsa, satu angka yang rendah berbanding dengan jumlah ahli kontinjen dengan lebih daripada separuh sukan yang ditawarkan adalah sukan bertaraf Olimpik.

Vietnam menawarkan 526 emas daripada 40 sukan dalam Sukan SEA kali ini yang berlangsung di 11 wilayah di sekitar ibu kotanya dengan kira-kira 10,000 atlet dari 11 negara Asia Tenggara dijangka mempamerkan keupayaan atlet masing-masing.

Berasaskan 36 emas yang disasarkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN), Malaysia hanya menyasarkan kira-kira 6.8 peratus daripada pingat emas yang menjadi rebutan di Hanoi.

Di Filipina 2019, Malaysia membawa pulang 56 daripada 531 emas ditawarkan, kira-kira 10.5 peratus sementara dalam edisi Kuala Lumpur 2017, Malaysia muncul juara keseluruhan selepas membolot 35.7 peratus (145 daripada 406) emas ditawarkan, terima kasih kepada kelebihan beraksi di tempat sendiri.

Ketika kali terakhir Vietnam menjadi tuan rumah Sukan SEA pada 2003, Malaysia menduduki tempat kelima dengan 44 emas, 42 perak dan 59 gangsa bersamaan kira-kira 10 peratus daripada 444 emas ditawarkan.

Malaysia juga sering muncul di kedudukan lima teratas dalam sukan dwitahunan itu, kecuali sekali di tempat keenam dalam edisi Singapura 1983.

Baru-baru ini, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, sasaran pingat yang rendah itu kerana kesukaran meramalkan kemampuan sebenar atlet-atlet di rantau ini berikutan kurangnya pertandingan atau kejohanan akibat pandemik dan beberapa acara yang merupakan lubuk emas Malaysia tidak dipertandingkan buat kali ini.

Beliau berkata, kira-kira 72 pingat (25 emas, 16 perak dan 29 gangsa) daripada 27 sukan dan 68 acara dimenangi Malaysia pada edisi Filipina tidak dipertandingkan di Vietnam, termasuk skuasy dan boling padang (setiap satu empat emas), meluncur (dua), gimnastik berirama (tiga) dan "break dance” (satu).

Bagaimanapun, Malaysia dijangka memperoleh emas daripada 15 jenis sukan di Hanoi, dengan harapan terjun dan olahraga masing-masing akan menyumbang lebih daripada lima emas sementara taekwondo, wushu, petanque, pencak silat dan bina badan dijangka turut menyumbang emas.

Kem terjun sudah mencapai seperti apa yang dijangkakan dan mereka sudah menggondol enam emas, dua perak dan sebutir gangsa sebelum majlis pembukaan rasmi malam esok.

Malaysia seharusnya pulang dengan lebih 50 emas untuk kekal di kedudukan lima teratas keseluruhan, sementara skuad bola sepak lelaki diharap beraksi cemerlang untuk membawa pulang 'ibu segala pingat' selepas menundukkan Juara 16 kali Thailand dalam perlawanan pertama kumpulan Sabtu lepas.

Tuan rumah Vietnam yang mempamerkan peningkatan ketara dalam beberapa Sukan SEA sebelum ini, masing-masing memenangi 75, 58 dan 98 emas dari edisi 2015 hingga 2019 akan menghantar 951 atlet untuk mendapatkan 140 emas (26.6 peratus), 77 perak dan 71 gangsa dengan kelebihan beraksi di tempat sendiri, kali ini.

Dengan semangat Harimau Malaya, diharap atlet negara akan mempamerkan aksi terbaik mereka tanpa mengira status. Malaysia Boleh! - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!