Harimau Muda mengaum lagi di Hanoi
SKUAD bawah 23 tahun negara (B-23) melakar kemenangan kedua bagi acara bola sepak lelaki Sukan SEA Hanoi 2021 apabila menewaskan Laos 3-1 di Stadium Thien Truong malam ini.
Kemenangan kedua setelah menewaskan Thailand 2-1 Sabtu lalu itu sekali gus menyaksikan skuad kendalian Brad Maloney itu selesa mendahului Kumpulan B dengan meraih enam mata setelah mengharungi dua perlawanan.
Skuad negara dilihat banyak menguasai perlawanan pada separuh masa pertama apabila dilihat kerap mengatur asakan ke pintu gol Laos.
Namun kesemua asakan berkenaan gagal menepati sasaran selain berjaya dikekang benteng pertahanan Laos.
Bagaimanapun akhirnya kesemua asakan berkenaan berbaloi apabila Luqman Hakim Shamsudin menjaringkan gol sulung skuad negara pada minit ke-36.
Luqman yang berjaya melepas kawalan pertahanan Laos tenang mengawal bola sebelum merembat menewaskan Keo Oudone.
Gol itu semakin menyemarakkan semangat kesebelasan skuad B-23 negara untuk terus mengasak ke pintu gol Laos dalam usaha menambah jaringan.
Asakan-asakan berkenaan akhirnya membuahkan hasil dengan menyaksikan Muhammad Syahir Bashah meledak gol kedua pada minit ke-43 untuk selesa memimpin perlawanan hingga tamat babak pertama.
Skuad negara dilihat semakin menggandakan asakan pada babak kedua bagi menambah jaringan dengan memasukkan Hadi Fayyadh Abdul Razak.
Asakan-asakan yang dilancarkan akhirnya berjaya membuahkan hasil apabila Luqman Hakim sekali lagi mencatatkan nama selaku penjaring apabila memanfaatkan peluang di depan gawang Laos bagi menewaskan Keo Oudone pada minit ke-67.
Ketinggalan tiga gol bagaimanapun dilihat tidak melemahkan semangat kesebelasan Laos untuk terus mengasak ke gawang skuad B-23 negara bagi merapatkan jurang gol.
Usaha mereka itu akhirnya berjaya membuahkan hasil apabila pemain gantian Laos, Visith berjaya mencuri kesempatan untuk menjaringkan gol pertama buat Laos pada minit ke-84.
Jaringan berkenaan bagaimanapun dilihat sudah terlalu lewat buat Laos apabila skuad negaraB-23 dilihat terus kental bertahan hingga ke wisel penamat.
MALAYSIA – Muhammad Azri Abd Ghani, Quentin Cheng, Muhammad Faiz Amer Runnizar (Ahmad Fazli Yadi), Harith Haiqal Adam Afkar, Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi (kapten), Nik Akif Syahiran Nik Mat, Luqman Hakim Shamsudin (Muhammad Syafiq Ismail), Ahmad Zikri Mohd Khalili, Muhamad Syahir Bashah (Hadi Fayadh Abdul Razak), Muhammad Safwan Mazlan, Ahmad Danial Ahmad Asri (Nur Azfar Fikri Azhar)
LAOS - Keo Oudone, Phoutthavong, Kaharin, Chanthavixay, Phouvieng (Phatana), Phithack, Choney (Damoth), Keo Oudone, At, Nalongsit (kapten), Ekkamai, Sinnakone (Phoutthasay)
Pengadil – Yahya Ali Mohammad Hassan Almulla (UAE)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!