Adeyemi pengganti Haaland di Dortmund
KELAB gergasi Bundesliga, Borussia Dortmund menandatangani penyerang Karim Adeyemi daripada juara Liga Austria, RB Salzburg dengan kontrak sehingga 2027, kata kelab itu, beberapa jam selepas Manchester City bersetuju menandatangani bintang kelab Jerman berkenaan Erling Haaland.
Pemain berusia 20 tahun yang sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan ke Liga Perdana Inggeris (EPL), membuat 42 penampilan dalam semua pertandingan musim ini, menjaringkan 23 gol.
“Karim Adeyemi pemain muda antarabangsa Jerman berbakat tinggi memiliki penyudah mantap dan rentak luar biasa akan menjadi nilai tambah berharga dalam permainan menyerang pasukan,” kata Pengarah Sukan Dortmund, Michael Zorc.
Untuk rekod, Karim Adeyemi merupakan penjaring terbanyak Bundesliga Austria dengan 19 gol musim ini, mempunyai tiga kap bersama-sama pasukan Jerman dan menjaringkan satu gol.
“Sebaik mendengar Dortmund berminat mendapatkan khidmat saya, saya terus menyatakan persetujuan menyertai kelab berprestij ini tanpa mengambil masa memikirkan panjang.
“Saya membuat keputusan menandatangani perjanjian jangka panjang kerana saya yakin kami akan membentuk pasukan yang mantap dalam mencabar kejuaraan domestik dan Eropah,” kata Adeyemi.
Dortmund mempertaruhkan bakat Adeyemi bagi menggantikan penjaring sensasi Haaland yang menyertai Manchester City dengan bayaran perpindahan dilaporkan bernilai 60 juta euro (RM277 juta).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!