Malaysia, India berentap suku akhir Piala Thomas 2022

Reaksi Zii Jia ketika menentang Momota pada perlawanan kumpulan Piala Thomas di Stadium Impact Arena Bangkok. - Foto Bernama
Reaksi Zii Jia ketika menentang Momota pada perlawanan kumpulan Piala Thomas di Stadium Impact Arena Bangkok. - Foto Bernama
A
A
A

MALAYSIA bakal berentap dengan India apabila diundi bertemu naib juara Kumpulan C itu pada perlawanan suku akhir Piala Thomas 2022 dalam undian di Bangkok pada Rabu.

Malaysia yang sebelum itu berstatus juara Kumpulan D akan berhadapan Korea Selatan atau Denmark sekiranya layak ke separuh akhir kejuaraan berprestij badminton dunia tersebut.

Juara bertahan Indonesia pula akan bertemu China sekali gus ulangan final edisi Aarhus Denmark sebelum ini sementara juara Kumpulan C, Taiwan berdepan menentang Jepun.

Mengulas mengenai undian tersebut, Pengarah Prestasi Tinggi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Dr Tim Jones berkata, skuad negara tidak akan mengambil mudah cabaran dari India kerana pasukan tersebut mempunyai barisan pemain yang mantap pada edisi tahun ini.

"Bagaimanapun, kami merasa yakin selepas berhadapan dengan Jepun dan kami sedia untuk bertemu dengan sesiapa pun pada waktu ini, ayuh ke suku akhir,” katanya kepada wartawan ketika ditemui selepas sesi cabutan undian itu.

Jones juga gembira menyaksikan kemenangan Malaysia ke atas juara 2014, Jepun terutamanya aksi hebat Lee Zii Jia menumpaskan Kento Momota yang beliau percaya akan melonjakkan keyakinan pemain itu menjelang perlawanan suku akhir menentang India.

Sementara itu, pemain perseorangan nombor satu negara, Zii Jia percaya perlawanan suku akhir kali ini adalah seimbang selepas beberapa pemain ternama seperti Kento dari Jepun dan wakil Indonesia Anthony Sinisuka Ginting bergelut dengan prestasi masing-masing ketika ini.

Terdahulu, Zii Jia mengatasi pesaing utamanya Kento Momota 21-17, 21-8 untuk membantu Malaysia muncul juara Kumpulan D selepas menewaskan Jepun 3-2.

Pada masa sama, ketua pasukan Aaron Chia yang bergandingan dengan bekas teman regunya dalam edisi 2018, Teo Ee Yi menyumbangkan mata kemenangan Malaysia dengan mengatasi beregu Jepun Akira Koga-Yuta Watanabe, 22-20, 21-17.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!