Ejen insurans rugi RM100,000 rumah dipecah masuk
IPOH - Seorang ejen insurans mengalami kerugian lebih RM100,000 apabila kediamannya di Bandar Baru Tambun di sini dipecah masuk.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Anuar Othman berkata, mangsa seorang wanita berusia 39 tahun menyedari rumahnya dipecah masuk selepas pulang daripada bercuti petang Rabu.
"Mangsa bersama ibu serta adik perempuan dan anaknya meninggalkan rumah dalam keadaan baik dan berkunci kira-kira 12.30 tengah hari Selasa lepas.
"Bagaimanapun, semasa mangsa pulang ke rumahnya kira-kira 5 petang semalam (Rabu) mendapati pintu gelangsar dan jeriji dalam keadaan terbuka dan mempunyai kesan umpil serta kunci mangga juga telah dirosakkan di pintu tersebut," katanya ketika dihubungi Bernama di sini pada Khamis.
Anuar berkata, antara barangan yang hilang ialah cincin berlian, anting-anting berlian, jam tangan berjenama Rolex, wang tunai mata wang asing serta pasport antarabangsa milik pengadu dan anaknya dianggarkan kerugian bernilai RM100,500.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan pasukan forensik polis menemukan sembilan kesan cap jari dan rumah mangsa tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) yang boleh membantu siasatan.
"Cap jari yang diambil akan dihantar ke Jabatan Kimia Pulau Pinang untuk tujuan perbandingan dan asid deoksiribonukleik (DNA)," katanya menambah kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!