Doktor pakar antara lima 'doktor pembuli': Khairy
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar mendedahkan lima nama yang didakwa sebagai 'doktor pembuli' di Hospital Pulau Pinang (HPP) adalah membabitkan beberapa doktor pakar.
Menurutnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang meneliti aduan dan dakwaan yang dikemukakan kepada pihaknya.
"Sekarang kita terima banyak aduan dan tuduhan membabitkan doktor dan pakar yang kononnya melakukan buli terhadap doktor junior," katanya.
Beliau berkata, semua nama yang terlibat masih meneruskan perkhidmatan seperti biasa.
"Bukan senang untuk KKM melakukan pertukaran terutamanya melibatkan doktor pakar. Jadi buat masa ini semua bertugas seperti biasa dan siasatan masih berjalan," katanya.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai tindakan diambil KKM terhadap nama-nama yang didakwa sebagai 'doktor pembuli'.
Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan Pulau Pinang Dr Norlela Ariffin pada Rabu dilapor telah menyerahkan nama lima doktor HPP yang didakwa sebagai pembuli kepada KKM untuk disiasat.
Mengulas lanjut, Khairy berkata, siasatan dilakukan oleh Unit Integriti KKM dan Pasukan Petugas Khas dijangka memakan masa beberapa minggu.
"Mungkin beberapa minggu kerana ia melibatkan tuduhan berat iaitu buli dan budaya kerja yang tidak profesional," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Jururawat Sedunia, dekat sini pada Khamis.
Turut hadir, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Ujarnya, siasatan itu akan melibatkan sesi temu bual yang mana pengadu dan doktor yang dituduh pembuli akan dipanggil memberi keterangan.
"Untuk memberi keadilan kepada semua pihak, ia mestilah melalui proses yang telus dan laporan akan dikemukakan kepada saya kelak.
"Ini adalah proses dalaman yang biasa kita laksanakan," katanya.
Sementara itu, Khairy berkata, ahli Pasukan Petugas Khas akan diumumkannya pada Jumaat.
"Bukan saya mempengerusikannya. Esok saya umumkan termasuk terma rujukan dan sebagainya," ujarnya.
Jumaat lalu, Khairy berkata, KKM akan menubuhkan sebuah pasukan bertindak bebas bagi menyiasat kes kematian seorang doktor pelatih yang bertugas di HPP bulan lalu.
Media sebelum ini melaporkan seorang pegawai perubatan siswazah yang baharu ditempatkan di HPP dilaporkan terjatuh dari tingkat 23 sebuah apartment di Jalan Datuk Keramat, GeorgeTown pada 17 April lalu.
Mangsa baru ditempatkan di hospital terbabit pada 4 April lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!