Kanak-kanak empat tahun maut kemalangan
MACHANG - Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun maut manakala ibu serta kakaknya cedera selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer 54.1 Jalan Kota Bharu - Kuala Krai, Kampung Pek, di sini pada Rabu.
Dalam kejadian jam 7.30 malam itu, kanak-kanak berkenaan disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah yang dialami di anggota badan.
Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Mohamad Rusli Mat berkata, siasatan awal mendapati, ketika kejadian, treler yang dipandu lelaki berusia 44 tahun itu membawa muatan kereta dari arah Kuala Krai menghala ke Kota Bharu.
"Setibanya di lokasi kejadian, pemandu treler itu menekan brek secara perlahan.
"Bagaimanapun bahagian ekor kenderaan berat itu menghentam bahagian kepala mengakibatkannya terbabas ke laluan bertentangan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.
Tambah Mohamad Rusli, treler itu kemudiannya terlanggar kereta jenis Perodua Bezza dipandu ibu mangsa berusia 33 tahun yang datang dari arah Kota Bharu menghala ke Kuala Krai sebelum diseret ke sebelah kiri jalan.
Beliau berkata, akibat pertembungan itu, pemandu kereta dan anaknya yang berusia enam tahun mengalami kecederaan namun seorang lagi disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Menurutnya, pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan dan mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Machang untuk mendapatkan rawatan lanjut.
"Kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!