HFMD di Melaka meningkat tapi terkawal
MELAKA - Kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Melaka mencatatkan peningkatan dari 95 kes pada tahun lalu kepada 977 kes dalam tempoh sama tahun ini.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr Rusdi Abd Rahman berkata, bagaimanapun situasi HFMD di Melaka masih terkawal namun ibu bapa perlu berwaspada termasuk mengetahui tanda-tanda HFMD pada anak-anak.
Menurutnya, bilangan kes yang dilaporkan pada tahun lalu direkodkan rendah kerana berlakunya pandemik Covid-19 yang menyebabkan taska, tadika mahupun pusat jagaan serta sekolah ditutup dan tidak dapat beroperasi seperti biasa.
"Ibu bapa dinasihatkan jangan menghantar anak-anak yang tidak sihat ke sekolah atau tadika dan bawa anak ke klinik dengan segera jika terdapat tanda-tanda HFMD.
"Ajarkan juga anak-anak supaya sentiasa menjaga kebersihan diri dan jangan berkongsi barang peribadi dengan rakan.
"Sekiranya keadaan kesihatan anak bertambah teruk, bawa mereka segera untuk mendapatkan rawatan di hospital," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.
Mengulas lanjut beliau berkata, setakat ini terdapat 13 kluster dilaporkan termasuk lima di tadika, empat kes membabitkan taska, dan dua kes masing-masing di pusat jagaan dan dua rumah persendirian.
Katanya, arahan penutupan 11 buah premis membabitkan tujuh premis di daerah Jasin, tiga premis di Melaka Tengah dan sebuah premis di Alor Gajah dilakukan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
Ujarnya, Jabatan Kesihatan Negeri Melaka sentiasa memantau perkembangan kes itu dan beberapa sesi 'town hall' bersama pengusaha tadika dan taska telah dilaksanakan.
"Townhall bersama pemilik pasar raya dan pusat membeli-belah juga dilakukan bagi bersama membendung kes HFMD di negeri ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!