Kes HFMD meningkat 8.4 kali ganda di Pulau Pinang
GEORGE TOWN - Kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Pulau Pinang mengalami peningkatan 8.4 kali ganda iaitu sebanyak 959 kes sejak Januari hingga 7 Mei lepas berbanding 102 kes dalam tempoh yang sama pada 2021.
Exco Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan Pulau Pinang Dr Norlela Ariffin berkata, sepanjang tempoh sama, sebanyak 54 kluster HFMD dilaporkan berbanding hanya tujuh kluster direkodkan pada 2021 dengan peningkatan sebanyak 6.7 kali ganda.
"Penyakit HFMD mudah menjangkiti orang lain terutamanya kanak-kanak di premis tempat tumpuan mereka seperti taska, tabika, tadika, pusat jagaan dan prasekolah.
"Jumlah kumulatif premis yang ditutup adalah sebanyak 54 premis sepanjang tempoh sama dan semua premis tersebut telah beroperasi seperti biasa dengan pembukaan semula premis terakhir yang terlibat adalah pada 3 Mei lepas," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini dilaporkan berkata, kes jangkitan HFMD di negara ini menunjukkan peningkatan 12.8 kali ganda iaitu sebanyak 22,463 kes HFMD dilaporkan di seluruh negara berbanding 1,752 kes tahun lepas.
Norlela berkata, virus itu boleh merebak secara kontak dengan air liur, cecair lepuh serta najis pesakit dan kebiasaan jangkitan adalah ringan dengan gejala demam diikuti ruam melepuh pada tangan, kaki, mulut dan lidah.Katanya, hampir keseluruhan pesakit terdiri daripada kanak-kanak yang menghidap penyakit HFMD pulih tanpa rawatan dalam masa tujuh ke 10 hari.
Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya mengambil langkah pencegahan untuk mengurangkan risiko dijangkiti seperti basuh tangan dengan sabun dan mengekalkan kebersihan di rumah.
Beliau turut menyarankan ibu bapa membawa anak-anak ke klinik atau hospital terdekat jika terdapat tanda-tanda atau gejala jangkitan dan mereka juga dinasihatkan agar tidak membawa anak-anak yang bergejala ke tempat awam yang ramai seperti kolam renang, pasar, pusat beli-belah dan sebagainya.
"Pengusaha dan penjaga di taska atau tadika perlu memastikan kebersihan premis terutama peralatan dan perkakasan yang digunakan oleh kanak-kanak," katanya.
Norlela berkata kanak-kanak dengan gejala dinasihatkan untuk tidak hadir ke sekolah bagi mengelakkan jangkitan kepada kawan-kawan dan mengamalkan kaedah cuci tangan yang betul serta nyahkuman permukaan-permukaan yang tercemar. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!