Penipuan tawaran kerja sambilan: Empat pelajar rugi RM26,557

(Gambar kecil: Huat Tian) Polis menerima empat laporan berhubung penipuan tawaran kerja sambilan dengan menyasarkan golongan pelajar sebagai mangsa di negeri ini pada Rabu. - Gambar hiasan
(Gambar kecil: Huat Tian) Polis menerima empat laporan berhubung penipuan tawaran kerja sambilan dengan menyasarkan golongan pelajar sebagai mangsa di negeri ini pada Rabu. - Gambar hiasan
A
A
A

KUANTAN - Polis menerima empat laporan berhubung penipuan tawaran kerja sambilan dengan menyasarkan golongan pelajar sebagai mangsa di negeri ini pada Rabu.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Negeri, Deputi Superintendan Yap Huat Tian berkata, empat pelajar berusia 20 hingga 28 tahun membuat laporan polis mendakwa menjadi mangsa penipuan itu membabitkan jumlah kerugian keseluruhan sebanyak RM26,557.

Menurutnya, laporan polis tersebut dibuat pelajar (mangsa) dari daerah Kuantan, Temerloh, Bentong dan Rompin.

"Berdasarkan laporan polis diterima, mangsa mendakwa menerima tawaran kerja sambilan itu yang diiklankan melalui laman sosial.

"Mangsa mendakwa berminat untuk menerima tawaran kerja tersebut apabila dijanjikan keuntungan 20 peratus bagi setiap barangan dibekalkan sindiket yang berjaya dijual," katanya melalui satu kenyataan pada Khamis.

Huat Tian berkata, bagi menyakinkan mangsa, pihak sindiket membuat bayaran seperti dijanjikan bagi tugasan kali pertama dan kedua.

"Bagi tugasan kali ketiga dan seterusnya mangsa mendakwa tidak menerima sebarang bayaran.

"Pihak sindiket sebaliknya memberi pelbagai alasan ketika mangsa menuntut wang keuntungan mereka," katanya.

Beliau berkata, mangsa kemudiannya diperdaya untuk meneruskan tugasan itu dengan mengarahkan mereka membeli barangan lain dan membuat bayaran melalui akaun bank atas nama individu berbeza untuk mendapatkan bayaran keuntungan seterusnya.

"Mangsa mula curiga apabila terus didesak membeli barangan yang dijual dengan harga semakin tinggi sehingga mereka tidak mampu untuk meneruskan tugasan itu.

"Mangsa menyedari telah ditipu apabila panggilan telefon disekat sebelum tampil membuat laporan polis," katanya.

Huat Tian berkata, orang ramai diingatkan supaya tidak mudah percaya dengan iklan tawaran kerja dalam talian yang menawarkan pulangan lumayan.

"Sebaiknya orang ramai perlu membuat semakan terhadap akaun yang digunakan secara dalam talian melalui portal Mule CCID bagi mengelak menjadi mangsa," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!