Anggota polis lepas, bebas tuduhan miliki dadah

Tertuduh (tengah) bersama peguam, P Taneswaran (kanan) dan Inderpal Singh di Mahkamah Majistret Maran, Pahang pada Rabu.
Tertuduh (tengah) bersama peguam, P Taneswaran (kanan) dan Inderpal Singh di Mahkamah Majistret Maran, Pahang pada Rabu.
A
A
A

MARAN - Seorang anggota polis dibebas dan dilepaskan oleh Mahkamah Majistret Maran di sini pada Rabu atas tuduhan memiliki dadah jenis methamphetamine pada 2020.

Keputusan itu dibuat oleh Majistret Nur Syafiqah Noorinda selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, Mohd Ibnisan Ibrahim, 40 diakhir kes pendakwaan.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran didakwa memiliki dadah jenis methmaphetamin seberat 17.9 gram ketika pemeriksaan jalan raya di Felda Jengka 19, jam 1 pagi pada 5 Jun 2020.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39A (1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih lima tahun serta boleh dikenakan sebatan tidak kurang tiga sebatan dan tidak lebih sembilan sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Izzani Isa manakala tertuduh diwakili peguam, P Taneswaran dan Inderpal Singh.

Sebelum ini mahkamah telah mendengar lima saksi pendakwaan sepanjang perbicaraan sejak tertuduh didakwa kali pertama pada 5 Ogos 2020.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!