Himpunan ICERD: Umum cuti peristiwa tak masuk akal
SHAH ALAM - Keputusan Kerajaan Kelantan mengumumkan cuti peristiwa untuk menggalakkan rakyat ke himpunan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), Sabtu ini dianggap tidak masuk akal.
Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan, Syed Badli Shah Syed Osman berkata, Kerajaan Kelantan juga disifatkan tidak matang apabila turut mengheret rakyat menyertai himpunan tersebut.
“Tindakan Kerajaan Kelantan umum cuti peristiwa untuk galak rakyat ke himpunan tersebut tak masuk akal sekali gus menjejaskan produktiviti kerajaan negeri.
“Sebagai sebuah kerajaan, pihak itu tidak patut dilibatkan untuk sesuatu himpunan yang didakwa berunsur politik. Kerajaan Kelantan tidak patut heret rakyat untuk sertai himpunan ICERD,” katanya.
Beliau sebelum itu berkata, segala bentuk himpunan bagi membantah ICERD hanyalah kerja sia-sia dan menyusahkan rakyat selain membina persepsi negatif terhadap terhadap kerajaan.
Katanya, himpunan tersebut menarik penyertaan beberapa parti politik pembangkang, tindakan mengheret rakyat demi kepentingan politik adalah sesuatu yang dangkal.
“Kerajaan PH bsudah nyatakan dengan tegas bahawa Malaysia tidak akan meratifikasi ICERD.
“Saya gesa Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob untuk menarik balik cuti tersebut dan berhenti mempergunakan rakyat Kelantan untuk tujuan berpolitik,” katanya.
Terdahulu, Kerajaan Kelantan mengumumkan Ahad ini sebagai cuti peristiwa bagi memberi peluang kepada rakyat menghadiri perhimpunan bantah ICERD.
Perkara tersebut diumumkan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob selepas mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Kompleks Kota Darul Naim.
Himpunan bantah ICERD dijadualkan diadakan di Dataran Merdeka, Sabtu ini dan dijangka dihadiri lebih 500,000 rakyat melibatkan pelbagai latar belakang.
[ARTIKEL BERKAITAN: ICERD: Kelantan umum cuti peristiwa Ahad ini]
[ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan sah tak akan ratifikasi ICERD]
[ARTIKEL BERKAITAN: ICERD: Tak perlu teruskan himpunan]
[ARTIKEL BERKAITAN: Himpunan tolak ICERD tidak perlu]
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!