PICKids: Tarikh akhir dos pertama vaksin Covid-19 dilanjutkan
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Tarikh akhir pemberian vaksin dos pertama Covid-19 bagi kanak-kanak melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) dilanjut kepada 31 Mei ini.
Bagaimanapun, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, tarikh akhir pendaftaran dan tempahan janji temu vaksinasi melalui aplikasi MySejahtera iaitu pada 8 Mei dikekalkan serta tidak akan lagi diterima selepas tarikh tersebut.
"Keputusan itu dibuat Jawatankuasa Bertindak Imunisasi Covid-19 Kanak-Kanak (CITF-C) pada Selasa lalu selepas mengambil kira sambutan Hari Raya Aidilfitri dan cuti kelepasan am yang jatuh pada tarikh akhir pemberian vaksin serta penutupan pusat pemberian vaksin (PPV)," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menurutnya, bagi ibu bapa yang mendaftar dan membuat janji temu sebelum 8 Mei dan memilih tarikh vaksinasi sebelum atau pada 31 Mei, boleh meneruskan janji temu yang dipilih.
"Bagi ibu bapa yang mendaftar dan membuat janji temu sebelum atau pada 8 Mei tetapi memilih tarikh vaksinasi selepas 31 Mei, janji temu dalam aplikasi MySejahtera akan terbatal secara automatik.
"Ibu bapa boleh membawa anak mendapatkan vaksinasi Covid-19 secara walk-in di klinik kesihatan KKM," katanya.
Beliau berkata, ibu bapa yang mendaftar selepas 8 Mei, pautan tempahan janji temu dalam aplikasi MySejahtera tidak akan diberikan.
"Bermula 16 hingga 31 Mei, vaksinasi dos pertama bagi kanak-kanak yang telah berusia lima tahun hingga bawah 12 tahun akan diberikan di klinik kesihatan KKM secara walk-in," katanya.
Dr Noor Azmi berkata, ibu bapa yang telah mendaftar anak mereka sebelum 8 Mei untuk vaksinasi Covid-19 tetapi tidak mendapat pautan janji temu digalakkan untuk membawa anak mereka mendapat vaksinasi di klinik kesihatan KKM yang berdekatan secara walk-in selewat-lewatnya pada 31 Mei.
"Pemberian vaksin di klinik kesihatan KKM adalah bergantung kepada bekalan vaksin yang tersedia dan secara 'first come basis'.
"Sekiranya bekalan vaksin pada hari tersebut telah habis, ibu bapa perlu datang semula pada hari berikutnya," katanya.
Ujarnya, selepas 31 Mei kanak-kanak yang telah berusia lima hingga bawah 12 tahun tidak lagi ditawarkan vaksin Covid-19 secara percuma di bawah PICKids.
"Pengecualian diberikan kepada kanak-kanak berusia lima tahun hingga bawah 12 tahun yang terpaksa membatalkan janji temu sebelum atau pada 31 Mei kerana dijangkiti Covid-19," katanya.
Mengambil kira komplikasi MIS-C yang mungkin berlaku, ibu bapa disarankan membawa anak mendapatkan vaksinasi secara walk-in ke klinik kesihatan dalam tempoh enam minggu selepas sembuh daripada jangkitan ataupun selewat-lewatnya pada 30 Ogos.
"Pemakluman ini tidak terpakai bagi kanak-kanak yang baru mencapai usia lima tahun pada atau selepas 31 Mei," katanya.
Dr Noor Azmi berkata, ibu bapa kepada kanak-kanak dalam kategori itu boleh membuat pendaftaran dan tempahan janji temu vaksin Covid-19 dos pertama melalui aplikasi MySejahtera sehingga 15 Januari 2023 untuk menerima vaksinasi di bawah program PICKids.
"Tarikh akhir pemberian vaksin dos pertama di bawah program PICKids bagi kategori ini adalah pada 31 Januari 2023.
"Saya berharap ibu bapa yang berhasrat memberi vaksin kepada anak mereka tetapi belum berkesempatan untuk berbuat demikian, rebutlah peluang terakhir ini sebelum terlambat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!