43 tual balak haram dirampas

Sebahagian tual balak yang dirampas dipercayai cuba dipindah keluar secara haram dari hutan tanah kerajaan di Kampung Kemuning, Berchang Baru Mukim Telang di sini pada Rabu.
Sebahagian tual balak yang dirampas dipercayai cuba dipindah keluar secara haram dari hutan tanah kerajaan di Kampung Kemuning, Berchang Baru Mukim Telang di sini pada Rabu.
A
A
A

LIPIS - Pejabat Hutan Daerah (PHD) Lipis berjaya merampas 43 tual balak pelbagai spesies dan saiz bernilai lebih RM26,000 yang dipercayai cuba dipindah keluar secara haram dari hutan tanah kerajaan di Kampung Kemuning, Berchang Baru Mukim Telang di sini pada Rabu.

Pegawai Hutan Daerah Lipis, Mohd Aizat Arippin berkata, kegiatan itu berjaya dipatahkan hasil serbuan pihaknya ke lokasi selepas mendapat maklumat daripada penduduk setempat berhubung aktiviti pembalakan tanpa lesen di kawasan terbabit.

Menurutnya, dalam serbuan itu pihaknya menemui beberapa longgok tual balak yang dipercayai sedia untuk dipindahkan individu tidak bertanggungjawab.

"Ketika serbuan dilakukan, tiada sebarang tangkapan atau rampasan jentera dilakukan.

"Kami percayai pihak yang terlibat dalam kegiatan haram itu telah melarikan diri selepas menghidu kehadiran anggota penguat kuasa," katanya kepada pemberita pada Khamis.

Mohd Aizat berkata, hasil pemeriksaan ke atas tual balak yang ditemui mendapati ia dari pelbagai spesies antaranya Sesenduk, Kempas, Keladan, Kedondong, Kelat, Tinjau Belukar dan Putat.

"Kayu-kayu balak itu telah disita untuk siasatan dan tindakan lanjut.

"Kami tidak menolak kemungkinan dalang dalam kegiatan itu melibatkan individu yang berpengalaman," katanya.

Menurutnya, hasil siasatan awal kumpulan itu terdiri antara tiga hingga lima individu yang mempunyai peranan tersendiri termasuk penebang dan pemandu jentera.

"Lori akan masuk ke kawasan itu untuk memindahkan balak bila keadaan selamat dan biasanya dilakukan pada waktu malam.

"Mereka juga dipercayai menggunakan khidmat pemberi maklumat atau tonto untuk mengawasi pihak berkuasa sepanjang perjalanan," katanya.

Tambah beliau, balak berkenaan dipercayai untuk dihantar ke kilang papan tertentu di daerah ini yang menerima balak tanpa lesen.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!