Penunggang motosikal maut dalam nahas 13 kenderaan

Treler yang didakwa mengalami masalah brek melanggar 12 kenderaan lain dan menyebabkan seorang penunggang motosikal maut. - Foto ihsan Facebook Penang Kini
Treler yang didakwa mengalami masalah brek melanggar 12 kenderaan lain dan menyebabkan seorang penunggang motosikal maut. - Foto ihsan Facebook Penang Kini
A
A
A

NIBONG TEBAL - Seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan melibatkan 13 kenderaan di Jalan Batu Kawan, Simpang Ampat di sini pada petang Rabu.

Dalam kejadian jam 6.25 petang itu, mangsa, Tang Hai Kok, 46, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di badan dan kepala.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Lee Chong Chern berkata, selain mangsa, seorang penunggang wanita warga emas berusia 64 tahun turut cedera pada kaki dan bahu kiri dalam kejadian itu.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Bakap untuk dibedah siasat.

"Kemalangan itu dipercayai berlaku apabila sebuah treler melanggar 12 buah kenderaan lain dalam kedudukan sebaris selepas mengalami kegagalan brek.

"Selain motosikal mangsa, treler tersebut turut melanggar lapan buah kereta, dua buah motosikal, sebuah pacuan empat roda dan sebuah van yang berada dalam kedudukan sebaris," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Chong Chern berkata, semua kenderaan terlibat dalam kemalangan itu mengalami pelbagai kerosakan teruk.

Katanya, pemandu treler berusia 28 tahun itu ditahan dan ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadapnya didapati negatif.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!