MNDKS mulakan operasi ramp haram, kempen tikus serentak

Rahilah komited melaksanakan operasi dan kempen kawalan bagi memastikan Kuala Selangor bersih dan pemilik premis perniagaan mematuhi arahan ditetapkan.
Rahilah komited melaksanakan operasi dan kempen kawalan bagi memastikan Kuala Selangor bersih dan pemilik premis perniagaan mematuhi arahan ditetapkan.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) dijangka melaksanakan operasi pemecahan tanjakan (ramp) haram di kawasan pusat perniagaan bermula April ini.

Yang Dipertua MDKS, Rahilah Rahmat berkata, tindakan memecahkan tanjak haram di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) diambil jika pemilik premis membina konkrit itu di atas petak parkir.

"Akta ini memerlukan pemilik atau pengusaha premis membuka ramp jenis konkrit seperti diarahkan. Jika ingkar, tindakan tegas akan diambil termasuk memecahkan tanjakan dan kompaun.

“Kos memecah ramp jenis konkrit akan dikenakan terhadap pemilik atau penyewa yang membina tanpa kebenaran. Hanya ramp bersifat sementara seperti jenis besi dan mudah alih dibenarkan,” katanya.

Menurutnya, pemilik premis yang ingin menggunakan tempat letak kereta bagi tujuan perniagaan perlu membuat permohonan sewaan petak khas terlebih dahulu.

“Penggunaan tempat letak kereta tanpa kebenaran bagi tujuan perniagaan adalah satu kesalahan.Boleh hubungi Jabatan Pelesenan MDKS di talian 03-3289 1439 sambungan 163 untuk pertanyaan sewaan petak letak kereta khas,

“Untuk permohonan penggunaan tanjakan sementara, boleh hubungi Jabatan Kawalan Bangunan MDKS di talian sama sambungan 214,” katanya.

Sementar itu, Rahilah berkata, MDKS menawarkan ganjaran RM3 kepada masyarakat setempat yang berjaya menangkap seekor tikus sempena kempen kawalan tikus.

Artikel Berkaitan:

“Tangkapan tikus boleh dihantar ke Jabatan Kesihatan dan Persekitaran MDKS dengan ganjaran akan dibayar secara tunai pada waktu serahan setiap Selasa dan Khamis.

“Kempen ini bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat dari segi kesihatan awam iaitu mengenai penularan penyakit leptospirosis dan penyakit bawaan daripada tikus,” katanya.

Menurutnya, masalah pembiakan tikus dipandang serius kerana kepentingan dan keistimewaan Kuala Selangor sebagai syurga makanan yang menjadi produk pelancongan utama di daerah ini.

Rahilah berkata, orang awam terutama pelanggan premis makanan perlu melaporkan kepada MDKS jika melihat sikap kurang peka pemilik premis makanan terhadap isu kebersihan.

“Jika ada nampak tikus di persekitaran kawasan premis makanan, boleh hubungi Jabatan Kesihatan dan Persekitaran MDKS di talian 0332892235 untuk aduan atau pertanyaan lanjut.

“Kerjasama semua pihak penting bagi menjayakan kempen dijangka berakhir pada 31 Disember ini sekali gus menggalakkan masyarakat setempat menjaga kebersihan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!