Mohon permit HSK guna sistem iForest
SUNGAI PETANI - Permohonan memasuki Hutan Simpanan Kekal (HSK) seluruh negeri Kedah akan dilaksanakan secara dalam talian melalui sistem iForest, berkuat kuasa 1 Jun nanti.
Pegawai Kewangan Negeri Kedah, Datuk Isahak Murat berkata, permohonan menerusi sistem iForest adalah untuk mendapatkan permit memasuki HSK khususnya berkaitan aktiviti rekreasi, meredah hutan, mendaki gunung dan sebagainya.
Menurutnya, sistem yang dibangunkan Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) dengan Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi (BTMK) Negeri Kedah itu diharap mampu mempercepatkan proses permohonan tanpa melalui kaunter seperti dilakukan sebelum ini sekali gus menjimatkan kos dan masa.
"Ia membolehkan jabatan mengenal pasti jumlah pelanggan yang akan memasuki HSK lebih awal dan seterusnya dapat membantu mengawal pengunjung keluar masuk pada setiap masa," katanya ketika melancarkan Sistem iForest di Pusat Latihan Perhutanan Jeniang, Pejabat Renjer Hutan Jeniang, pada Khamis.
Hadir sama, Pengarah Perhutanan Negeri Kedah, Muhamad Abdullah.
Beliau menjelaskan, melalui sistem berkenaan, permohonan dan pemprosesan untuk mendapatkan permit dapat dilakukan dengan cepat, cekap dan berkesan, seterusnya dapat menjana dan meningkatkan hasil kepada kerajaan negeri.
Jelasnya, pembangunan sistem tersebut adalah sebagai satu medium atau platform pemudah cara terbaik bukan sahaja buat pengunjung malah kepada pihak jabatan bagi memantau jumlah pengunjung yang berada di sesebuah lokasi.
Dalam pada itu, katanya, sistem yang dibangunkan itu adalah mesra pengguna dan mematuhi kehendak Akta Perhutanan Negara 1894 (Pindaan 1993) dan Kaedah-Kaedah Hutan 1989 Negeri Kedah.
"Secara umumnya, objektif utama adalah memastikan pelaporan maklumat lebih cepat dan tepat, mengurangkan aduan dan rungutan pengunjung semasa proses permohonan sekali gus meningkatkan imej baik kepada kerajaan negeri," katanya.
Beliau menjelaskan, iForest bakal dimasukkan dalam sistem gerbang i-Bayaq yang telah dibangunkan oleh BTMK untuk memudahkan bayaran secara dalam talian dilakukan sepertimana bayaran dilakukan terhadap agensi kerajaan lain.
"Sepertimana yang kita sedia maklum i-Bayaq merupakan gerbang sistem bayaran secara dalam talian untuk agensi kerajaan seperti Bahagian Perumahan, Pejabat Tanah dan Galian serta lain-lain untuk memudahkan kutipan hasil dengan cepat dan selamat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!