PMKS boleh tangguh laksana gaji minimum hingga 31 Disember

Awang (dua dari kanan) menyampaikan bayaran faedah kepada salah seorang waris orang berinsurans pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) pada Khamis.
Awang (dua dari kanan) menyampaikan bayaran faedah kepada salah seorang waris orang berinsurans pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) pada Khamis.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan memberikan kelonggaran kepada majikan usahawan perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) untuk menangguhkan pelaksanaan gaji minimum RM1,500 sehingga 31 Disember depan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, tempoh berkenaan bagi membolehkan majikan terlibat membuat persediaan selepas terkesan akibat pandemik Covid-19.

Katanya, kerajaan memberi ruang untuk berbincang selepas menerima banyak permintaan daripada majikan PMKS untuk menangguhkan pelaksanaan gaji minimum terbabit.

"Sebab itu ada kelonggaran untuk majikan PMKS melaksanakan gaji minimum RM1,500 sehingga 31 Disember depan," katanya ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), di sini pada Khamis.

Menurutnya, tempoh tujuh bulan berkenaan boleh digunakan majikan untuk melaksanakan gaji minimum RM1,500 seperti yang ditetapkan kerajaan.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Awang menjelaskan penetapan gaji minimum bagi pekerja domestik atau amah Indonesia tertakluk kepada memorandum persefahaman (MoU) yang diputuskan antara kerajaan Malaysia dan Indonesia.

“Ada MoU antara Malaysia dan Indonesia jadi itu yang akan diguna pakai,” katanya.

Pada 27 April lalu, media melaporkan kerajaan mewartakan pelaksanaan gaji minimum RM1,500 yang berkuat kuasa 1 Mei lalu bagi majikan yang menggajikan lima orang pekerja atau lebih serta majikan yang menjalankan sesuatu aktiviti profesional yang dikelaskan di bawah Piawaian Pengelasan Pekerjaan Malaysia (Malaysia Standard Classification of Occupations, MASCO) 2020.

Bagi majikan yang menggajikan kurang lima orang pekerja, kuat kuasa gaji minimum RM1,500 akan bermula 1 Januari 2023.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!