PVATM anjur Majlis Makan Malam bantu veteran kurang bernasib baik
SEREMBAN - Bersempena ulang tahun ke-100 veteran, Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Negeri Sembilan akan menganjurkan majlis makan malam amal sebagai usaha melestarikan program-program kebajikan kepada veteran yang kurang bernasib.
Yang Dipertua PVATM Negeri Sembilan, Adnan Ahmad berkata, dana ini akan digunakan sepenuhnya untuk memberi bantuan kebajikan kepada anggota dan keluarga veteran yang amat memerlukan terutamanya golongan daif.
"Usaha ini sebagai tanda keprihatinan kerajaan selain memberi peluang kepada rakyat menghulurkan bantuan sebagai ingatan dan penghargaan kepada mereka.
"Walau sekecil mana pun sumbangan yang kami terima melalui makan amal ini sekurang-kurangnya kami dapat melaksanakan bantuan bulanan kepada ahli-ahli kurang upaya (OKU) dan menjadi cacat, balu-balu daif dan anak-anak yatim (ahli PVATM), bantuan perbelanjaan hospital dan lain-lain aspek kebajikan," katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.
Dalam pada itu, beliau berkata, majlis makan malam amal tersebut diadakan pada 25 Jun depan di Hotel Royal Chulan, di sini yang akan disempurnakan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
"Oleh itu kami menyeru kepada semua pihak agar dapat sama-sama menjayakan usaha ini dalam menghulurkan sumbangan kepada tabung Pahlawan PVATM Negeri Sembilan," katanya.
Katanya, untuk maklumat lanjut orang ramai boleh menghubungi pihaknya di talian 06-7630977.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!