Jho Low atur Mesyuarat TIASCC: Saksi
KUALA LUMPUR - Bekas Setiausaha Syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis bahawa ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho atau Jho Low mengatur dan menguruskan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Lembaga Pelaburan Terengganu (TIASCC).
Lim Poh Seng berkata demikian ketika membaca pernyataan saksinya dalam prosiding bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk mendapatkan rasuah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.
Saksi ke-18 pendakwaan itu berkata, atas permintaan Jho Low, beliau menghadiri beberapa mesyuarat TIASCC kerana bertindak sebagai perakam minit.
Bagaimanapun saksi ini membantah cadangan peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed yang mewakili Najib, bahawa pelantikannya dalam syarikat adalah disebabkan Jho Low.
Wan Aizuddin: Siapa yang tawarkan jawatan itu pada kamu?
Poh Seng: Jho Low tidak tawar jawatan itu kepada saya, tetapi daripada ahli lembaga pengarah secara kolektif.
Wan Aizuddin: Bila?
Poh Seng: Tidak ingat tahun berapa tapi perkenalan saya dengan Jho Low bermula apabila ahli perniagaan itu menawarkan perkhidmatan kepada beberapa syarikat yang dia cadangkan.
Dalam pada itu, ketika prosiding yang dijalankan pada pagi Khamis, bekas Setiausaha Syarikat 1MDB, Goh Gaik Kim menafikan dakwaan bahawa beliau adalah ibu saudara kepada Jho Low.
Beliau yang juga saksi pendakwaan ke-17 berkata, hanya melihat kelibat Jho Low dari jauh iaitu ketika makan tengah hari bersama salah seorang pengarah 1MDB dan Ketua Pegawai Operasi 1MDB (ketika itu), Radhi Mohamad.
"Saya tidak kenal Jho Low tapi masa dia tiba di majlis, Radhi kata, 'oohh itu Jho Low' lalu kami berdua terus menemuinya," kata saksi itu.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung Selasa depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!