Suspek samun penyampai berita dituduh esok

Suspek telah menendang cermin di bahagian penumpang hadapan kereta dan mengambil beg milik mangsa yang mengandungi komputer riba serta barangan peribadi lalu melarikan diri setelah menyedari kehadiran mangsa. FOTO: TikTok Janna Nick
Suspek telah menendang cermin di bahagian penumpang hadapan kereta dan mengambil beg milik mangsa yang mengandungi komputer riba serta barangan peribadi lalu melarikan diri setelah menyedari kehadiran mangsa. FOTO: TikTok Janna Nick
A
A
A

PETALING JAYA - Suspek utama kes samun membabitkan seorang penyampai berita sebuah stesen televisyen tempatan dalam kejadian di Damansara Perdana di sini 5 April lalu akan dituduh di Mahkamah pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, lelaki berusia 31 tahun berkenaan akan didakwa atas kesalahan melakukan samun di Mahkamah Majistret di sini.

Menurutnya, adik perempuan suspek yang dibebaskan dengan jaminan polis selepas ditahan bersama abangya pada 6 April lalu akan menjadi salah seorang saksi pendakwaan untuk kes terbabit.

"Suspek lelaki berusia 31 tahun itu sebelum ini direman selama tujuh hari untuk membantu polis melengkapkan kertas siasatan kes ini.

"Setelah kertas siasatan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut, polis mendapat kelulusan untuk mendakwa kedua-dua adik beradik itu di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada pagi 12 Mei (Jumaat)," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, suspek akan dibawa ke Mahkamah tersebut pada jam 8.30 pagi untuk dituduh di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan atas kesalahan samun sehingga mendatangkan kecederaan.

"Kita akan membawa kedua-dua suspek ke mahkamah sekitar jam 8.10 hingga 8.30 pagi untuk didakwa," katanya.

Sinar Harian pada 6 Mei melaporkan adik beradik tersebut ditahan di sekitar Puncak Alam untuk membantu siasatan berhubung kejadian samun tersebut.

Hasil semakan mendapati, suspek lelaki berkenaan mempunyai 15 rekod jenayah lampau malah suspek turut disenarai hitam bagi kes penyalahgunaan narkotik manakala adiknya yang berusia 24 tahun tidak mempunyai sebarang rekod.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.40 petang, mangsa yang merupakan seorang lelaki berusia 30-an mendapati kereta miliknya yang diletak di tepi jalan berhampiran kawasan Damansara Perdana dipecah oleh suspek.

Suspek telah menendang cermin di bahagian penumpang hadapan kereta dan mengambil beg milik pengadu yang mengandungi komputer riba serta barangan peribadi lalu melarikan diri setelah menyedari kehadiran pengadu.

Mangsa telah mengejar suspek lalu berlaku pergelutan dan beg milik pengadu telah terjatuh dari kereta suspek.

Mangsa telah mengalami kecederaan ringan dan kerugian dianggarkan RM500.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!