19 maut, berpuluh cedera banjir buruk di Iran

Penduduk Kampung Agh Ghaleh di utara Iran menggunakan bot bagi mengharungi jalan yang dinaiki banjir.- Foto AFP
Penduduk Kampung Agh Ghaleh di utara Iran menggunakan bot bagi mengharungi jalan yang dinaiki banjir.- Foto AFP
A
A
A

TEHERAN - IRAN.Banjir buruk di sebahagian besar Iran mengorbankan sekurang-kurangnya 19 nyawa dan mencederakan lebih 90 yang lain, ia turut mencetuskan risiko tanah runtuh berikutan hujan lebat yang dijangka berterusan hingga esok, kata pasukan kecemasan.

Menurut Timbalan Menteri Dalam Negeri Mehdi Jamalinejad, keadaan dilihat kritikal di wilayah Khuzestan, Lorestan dan Kohgiluyeh-Va-Boyerahmad.

Sejumlah 17 mangsa yang dilapor terkorban di Shiraz merupakan pengunjung yang terperangkap dalam banjir setelah memasuki bandar tersebut menggunakan kereta, sementara wilayah Kermanshah dan Lorestan masing-masing mencatatkan satu kematian.

Dengan 25 dari 31 wilayah di Iran mengalami banjir dan berdepan situasi bahaya, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Kebangsaan telah diaktifkan di peringkat kabinet.

"Saya telah mengarahkan kesemua gabenor dan pentadbir wilayah serta pegawai berkuasa seluruh negara untuk bersiap siaga dalam tempoh 72 jam berikutnya," kata Timbalan Presiden Pertama Eshagh Jahangiri kepada media selepas mesyuarat pertama jawatankuasa terbabit.

Presiden Hassan Rouhani menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan mengucapkan terima kasih kepada anggota pasukan kecemasan serta pasukan tentera yang memberi respons pantas dalam menangani bencana terbabit.

Rouhani turut menuntut penjelasan segera berhubung jumlah kematian tinggi yang berlaku di Shiraz.

Dalam pada itu, media tempatan melaporkan ratusan kampung terputus bekalan elektrik dan air dan selain terputus hubungan. Organisasai pengurusan krisis dan kementerian kesihatan pula memaklumkan cuti kesemua petugas dibekukan dan diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga.

Artikel Berkaitan:

"Perubahan iklim seluruh dunia mencetuskan banjir yang jarang berlaku di negara kita," kata Menteri Tenaga Reza Ardekanian yang bertanggungjawab terhadap empangan dan bekalan air. - AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!